Ragnarok X: Next Generation Menerima Sistem Haiwan Peliharaan

Nuverse minggu ini telah melancarkan sistem haiwan peliharaan untuk permainan MMORPG mudah alih mereka Ragnarok X: Next Generation. Melaluinya, pemain kini boleh menggunakan satu daripada 16 jenis haiwan peliharaan untuk menemai pemain sepanjang bermain.

Daripada 16 pilihan tersebut, 9 perlu ditangkap manakala 6 lagi akan berkembang daripada haiwan lain dan Phreeoni hanya boleh didapati melalui acara di dalam permainan.

Selain menjadi peneman, haiwan peliharaan ini juga akan mempunyai kebolehan pasif, dan juga 6 kebolehan aktif yang akan diperoleh secara rawak daripada pelbagai jenis kebolehan yang ada untuk membantu pemain terutama semasa bertempur.

Untuk mendapatkan haiwan peliharaan ini, pemain perlu terlebih dahulu mencapai tahap 60 dan melakukan tiga misi yang berkait. Misi ini memfokuskan untuk membeli lastik, bagaimana untuk menggunakannya dan juga cara untuk mendapatkan Ensiklopedia Haiwan Peliharaan.

Selain itu, Nuverse juga mengumumkan acara masa terhad bersempena pengumuman sistem baharu ini. Acara pertama adalah Poring vs Lunatic di mana pemain perlu memilih puak mana untuk disertai dan dapatkan Favor Point dengan menyelesaikan tugasan harian.

Selain itu terdapat juga Pet Adventures Event di mana pemain boleh bermain permainan papan seperti Monopoly ataupun memburu haiwan melalui Odin’s Blessings untuk mendapatkan Activity yang boleh ditukar dengan pelbagai ganjaran di Exchange Store.

Ragnarok X: Next Generation sudah dikeluarkan untuk iOS dan Android. Ia adalah permainan percuma dan menyertakan pembelian di dalam aplikasi.

Sohor Kini