Pada bulan April lepas, EA telah mengambil alih Glu Mobile dengan nilai $2.4 bilion yang menjadikan ia adalah pengambil-alihan keenam termahal setakat ini.

Minggu ini, VentureBeat telah melaporkan yang beberapa bulan selepas pengambil-alihan tersebut, Nick Earl dan Eric Ludwiq iaitu CEO dan juga COO untuk Glu Mobile mengumumkan mereka meninggalkan EA.

Ia adalah selepas EA mula melakukan penstrukturan semula untuk studio-studio permainan mudah alih mereka dengan Jeff Karp akan mengetuai keseluruhan operasi untuk EA Mobile.

Ini adalah kali kedua ketua untuk studio baharu EA meninggalkan syarikat tersebut, pada bulan lepas CEO dan juga CFO untuk Codemasters juga meninggalkan studio tersebut selepas diambil alih oleh EA.

Di dalam penstrukturan ini, EA juga akan mula membahagikan permainan mudah alih mereka mengikut kepada beberapa kumpulan berdasarkan genre dan jenis permainan, setiap kumpulan ini akan mempunyai ketua tersendiri.

Antara kumpulan tersebut adalah sukan yang akan menyertakan permainan mudah alih untuk Madden NFL, NBA, FIFA, UFC, MLB, Tap Sports dan Golf Clash melalui pengambil-alihan Playdemic baru-baru ini. Ia akan diketuai oleh Andrew Pederson.

Selain itu, terdapat juga kumpulan permainan menembak di mana mereka sedang membangunkan permainan mudah alih Battlefield Mobile yang dijangka tiba pada tahun 2022 dan juga Apex Legends Mobile yang sedang melakukan sesi beta tertutup. Kumpulan ini akan diketuai oleh Alex Seropian bersama dengan Vince Zampella iaitu ketua untuk Respawn Entertainment.

Kumpulan seterusnya adalah untuk permainan RPG dan juga strategi yang menyertakan permainan Star Wars: Galaxy of Heroes dan juga Disney’s Sorceres’s Arena yang dibangunkan oleh Glu Mobiles, ia akan diketuai oleh Malichi Boyle.

Bagi kumpulan permainan kasual pula yang menyertakan permainan seperti Bejeweled, Design Home, Kim Kardashian: Hollywood dan juga siri permainan mudah alih The Sims akan diketuai oleh Mark Van Ryswyk.

Kesemua permainan ini dibangunkan oleh EA yang kini mempunyai 20 studio permainan mudah alih dan melibatkan lebih 1500 pembangun. Sebelum mengambil-alih studio seperti Glu Mobile dan Playdemic mereka mempunyai lebih kurang 750 pembangun, dan mengatakan buat masa ini mereka tidak merancang untuk mengurangkan jumlah pembangun.

Sohor Kini