Laman penganalisa pasaran iaitu App Annie telah melaporkan yang untuk pertengahan pertama tahun 2021, pemain permainan mudah alih telah berbelanja sebanyak $1.7 bilion (~RM7 bilion) setiap minggu di App Store untuk iOS dan Play Store untuk Android (dikongsi oleh Games Industry).
Jumlah tersebut meliputi pembelian permainan secara terus, langganan di dalam permainan dan peratusan besar adalah pembelian di dalam aplikasi. Tiga permainan yang mencatat kutipan tertinggi adalah Roblox, Genshin Impact dan Arena of Valor.
Perbelanjaan ini juga dikatakan memperlihatkan peningkatan sebanyak 24% berbanding tahun lepas dan 40% berbanding tahun 2019. App Annie mengatakan yang peningkatan ini didorong oleh pandemik Covid-19.
Mereka juga melaporkan yang jumlah permainan yang mencatat kutipan melebihi $1 juta (~RM4.23 juta) setakat suku pertama tahun ini juga telah meningkat iaitu 810 permainan, 6% lebih banyak berbanding tahun lepas dan 25% lebih banyak berbanding tahun 2019.
Industri permainan mudah alih akan terus menjadi platform yang mencatat jumlah kutipan tertinggi berbanding konsol dan juga PC. Oleh itu tidak mengejutkan jika syarikat-syarikat besar seperti Sony, Nintendo dan Microsoft akan cuba untut turut terlibat dengan platform ini.