Square Enix dan Deck Nine telah mengumumkan yang Life is Strange Remastered Collection yang sepatutnya tiba pada bulan September ini telah ditunda ke awal tahun 2022 untuk semua platform iaitu PlayStation, Xbox, Switch dan PC.

Life is Strange Remastered Collection akan menyertakan permainan pertama Life is Strange dan penambahan Life is Strange: Before the Storm dengan kualiti grafik serta animasi yang lebih baik.

Mereka menyatakan yang keputusan yang sukar ini telah dibuat untuk memberi lebih ruang kepada pasukan pembangun yang juga sedang membangunkan Life is Strange: True Colors.

True Colors masih lagi akan dikeluarkan pada 10 September ini, dan mereka juga mengumumkan yang ia akan menerima DLC Life is Strange: Wavelengths pada 30 September. Mereka akan berkongsi lanjut mengenai DLC ini tidak lama lagi.

Life is Strange: True Colors akan dikeluarkan untuk PlayStation, Xbox , Switch dan PC.

Life is Strange merupakan IP yang pada awalnya dibangunkan oleh Dontnod, namun dengan mereka memfokuskan kepada IP sendiri, Square Enix memberi tanggungjawab membangunkan permainan True Colors dan juga Remastered kepada Deck Nine, yang membangunkan Life is Strange: Before the Storm sebelum ini.

Sohor Kini