Nintendo minggu ini telah berkongsi persidangan terbaru untuk Nintendo Indie World di mana mereka telah memperlihatkan sebilangan permainan-permainan indie yang akan dilancarkan di konsol Nintendo Switch, termasuk juga permainan-permainan yang sudah dilancarkan seperti Axiom Verge 2, Boyfriend Dungeon, dan Garden Story.

Kami senaraikan beberapa permainan menarik yang diumumkan ketika persidangan ini.

Bomb Rush Cyberfunk

Bomb Rush Cyberfunk adalah permainan aksi pengembaraan oleh Team Reptile yang menjadikan pemain seorang pelukis grafiti, pemain perlu melakukan grafiti di kawasan bandar dan boleh bergerak dengan melakukan pelbagai gerakan parkour. Ia akan dilancarkan di Switch secara eksklusif masa terhad untuk konsol dan PC pada tahun 2022.

Axiom Verge 2

Walaupun mempunyai nombor 2 di judulnya, Axiom Verge 2 oleh Thomas Happ Games merupakan prekuel kepada permainan pertama Axiom Verge. Ia adalah permainan platformer side-scroller. Anda tidak perlu menunggu lama, kerana ia sudah dilancarkan untuk PlayStation 4, Nintendo Switch dan PC.

Eastward

Eastward adalah permainan aksi pengembaraan RPG yang memfokuskan kepada tekarian dan juga dungeon crawler, ia dibangunkan oleh Pixpil dan diterbitkan oleh Chucklefish. Di dalam permainan ini, pemain akan mengawal John bersama dengan Sam mengembara untuk mencari apa yang berlaku di dunia yang menghampiri pengakhiran. Eastward akan dilancarkan pada 16 September untuk PC dan Nintendo Switch.

TOEM

TOEM adalah permainan pengembaraan yang memerlukan pemain untuk menangkap gambar untuk merungkai pelbagai misteri. Ia dibangunkan oleh Something We Made dan akan dilancarkan untuk PC dan juga Nintendo Switch pada akhir tahun ini.

Shovel Knight: Pocket Dungeon

Shovel Knight: Pocket Dungeon adalah permainan pengembaraan tekaria yang menggunakan bentuk permainan match-3. Ia akan menyertakan 10 watak daripada siri Shovel Knight dan menyokong sesi multi-pemain setempat. Ia akan dilancarkan untuk PS4, PC dan Nintendo Switch pada akhir tahun ini.

Metal Slug Tactics

Metal Slug Tactics adalah percubaan oleh Leikir Studio dan Dotemu untuk membawa bentuk permainan baharu bagi siri popular Metal Slug. Berbanding satu permainan aksi, permainan ini lebih memfokuskan kepada strategi dan juga menyertakan elemen roguelite. Metal Slug Tactics akan dilancarkan untuk PC dan Nintendo Switch pada tahun 2022.

Tetris Effect: Connected

Tetris Effect: Connected adalah versi terbaru untuk siri ini yang menyertakan mod multi-pemain. Ia sudah dikeluarkan untuk Xbox dan PC, dan akan tiba untuk PS4, PS5 pada 18 Ogos ini. Manakala untuk Nintendo Switch ia akan tiba pada 8 Oktober 2021 dan menyokong fungsi rentas platform.

FAR: Changing Tides

FAR: Changing Tides adalah permainan susulan kepada FAR: Lone Sails yang dikeluarkan pada tahun 2018. Ia adalah permainan pengembaraan di mana pemain perlu mengembara menggunakan satu kapal. Ia akan dilancarkan pada awal tahun 2021 untuk PlayStation 4, Xbox One, Nintendo Switch dan PC.

Loop Hero

Loop Hero adalah permainan roguelike berdasarkan pertempuran kad, ia dibangunkan oleh Four Quarters dan diterbitkan oleh Devolver Digital. Permainan akan berkembang setiap kali pemain memulakan sesi permainan walaupun selepas mati. Ia sudah dikeluarkan untuk PC dan akan tiba untuk Nintendo Switch pada akhir tahun ini.

Boyfriend Dungeon

Daripada judulnya sudah jelas yang Boyfriend Dungeon adalah permainan simulasi bercinta tetapi juga menyertakan elemen dungeon crawler. Di dalam permainan ini, pemain boleh bercinta dengan senjata untuk menjadikan ia lebih kuat bagi pengembaraan. Ia sudah dilancarkan untuk Xbox One, Nintendo Switch dan PC. Ia juga ditawarkan di Xbox Game Pass.

Necrobarista: Final Pour

Necrobarista: Final Pour adalah satu lagi permainan novel visual yang menjadikan pemain sebagai barista, akan tetapi ia juga menyertakan pelbagai elemen pengembaraan yang lain. Final Pour adalah versi tambahan untuk Necrobarista yang dikeluarkan untuk Apple Arcade dan PC sebelum ini. Ia juga sudah dikeluarkan untuk Nintendo Switch.

Selain itu, mereka juga telah mengumumkan pelbagai lagi permainan lain seperti Slime Rancher: Plortable Edition, Curious Expedition 2, Islanders: Console Edition dan Garden Story yang kesemuanya dilancarkan pada hari ini. Ada juga diperlihatkan permainan seperti Hundred Days – Winemaking Simulator, Gang Beasts, Astroneer dan LumbearJack.

Anda boleh tonton persidangan penuh di bawah.

Sohor Kini