Samsung ketika persidangan Galaxy Unpacked mereka pada hari ini telah mengumumkan generasi ketiga untuk peranti skrin boleh lipat mereka iaitu Galaxy Z Fold3 dan Galaxy Z Flip3. Ini adalah pertama kali mereka melancarkan kedua-duanya secara serentak.

Seperti generasi yang sebelum ini, keluarga Galaxy Z Fold dan Galaxy Z Flip memfokuskan kepada telefon pintar dengan rekaan unik. Bagi Galaxy Z Fold3 ia mempunyai dua skrin iaitu di bahagian depan dan juga satu lagi di bahagian dalam selepas dibuka.

Manakala Galaxy Z Flip3 turut mempunyai dua skrin akan tetapi untuk kegunaan biasa hanya skrin utama sahaja digunakan, satu lagi skrin adalah untuk mengubah tetapan dan juga memaparkan informasi telefon seperti tarikh, jam dan bateri.

Berikut adalah spesifikasi untuk kedua-dua telefon;

Galaxy Z Fold3 5G

Galaxy Z Fold3 hadir dengan skrin di bahagian depan dengan saiz 6.2 inci Dynamic AMOLED dengan resolusi 2260 x 832 serta menyokong sehingga 120Hz kadar segar semula. Manakala skrin di bahagian dalam adalah bersaiz 7.6 inci Dynamic AMOLED dengan resolusi 2208 x 1768 yang juga menyokong sehingga 120Hz.

Bagi pemprosesan pula ia menggunakan Qualcomm Snapdragon 888 yang akan menyokong 5G, dengan pilihan storan 256GB atau 512GB yang menggunakan piawaian USF 3.1. Ia juga disertakan dengan 12GB RAM dengan kapasiti bateri 4400mAH. Galaxy Z Fold3 akan hadir dengan tiga pilihan warna iaitu Phantom Black, Phantom Green dan Phantom Silver.

Samsung Galaxy Z Fold3 dengan storan 128GB ditawarkan dengan harga RM6699 dan storan 256GB dengan harga RM7099.

Galaxy Z Flip3 5G

Galaxy Z Flip3 pula hadir dengan skrin utama bersaiz 6.7 inci Dynamic AMOLED dengan resolusi 2640 x 1080 yang juga menyokong sehingga 120Hz kadar segar semula. Manakala skrin luar adalah bersaiz 1.9 inci Super AMOLED dengan resolusi 260 x 512.

Ia juga dikuasakan dengan Qualcomm Snapdragon 888 yang menyokong 5G, dengan pilihan 128GB atau 256GB mengunakan piawaian UFS 3.1. Ia disertakan dengan 8GB RAM dengan kapasiti bateri 3,300mAh. Galaxy Z Flip3 akan hadir dengan 7 pilihan warna iaitu Cream, Green, Lavender, serta Phantom Black, manakala untuk warna Gray, White dan Pink ia ditawarkan secara eksklusif melalui Samsung.com.

Samsung Galaxy Z Flip3 dengan storan 128GB ditawarkan dengan harga RM3999 dan storan 256GB dengan harga RM4199.

Sesi pra-tempah untuk kedua-dua telefon akan bermula pada 19 Ogos sehingga 21 September di mana mereka menawarkan pelbagai ganjaran seperti baucar bernilai RM850 untuk pembelian Galaxy Z Fold3 dan baucar RM600 untuk pembelian Galaxy Z Flip3.

Mengikut Samsung, telefon pintar dengan skrin boleh lipat akan menjadikan norma baharu dalam beberapa tahun lagi, dan dengan hadirnya generasi ketiga mereka masih lagi mendahului berbanding pengeluar-pengeluar lain.

Keunikan rekaan skrin untuk kedua-dua telefon adalah menarik bukan sahaja untuk “mengecilkan” telefon tetapi juga untuk digunakan di dalam kandungan media dan juga permainan video.

Bercakap mengenai perkara tersebut, Samsung mengatakan yang mereka akan terus berkerjasama dengan pengeluar aplikasi pihak ketiga termasuk juga pembangun permainan video, untuk hadir dengan aplikasi serta permainan yang akan menyokong keunikan skrin di kedua-dua telefon pintar ini.

Jika inginkan maklumat lanjut termasuk juga mengenai sesi pra-tempahan bagi Galaxy Z Fold3 dan juga Galaxy Z Flip3 anda boleh layari laman rasmi untuknya di pautan ini; https://www.samsung.com/my/smartphones/galaxy-z-fold3-5g/ dan https://www.samsung.com/my/smartphones/galaxy-z-flip3-5g/.

*16 Ogos 2021 – artikel dikemaskini untuk menyertakan harga dan juga tarikh sesi pra-tempahan.

Sohor Kini