Jika pada tahun lepas PUBG Mobile menganjurkan acara kolaborasi bersama dengan Blackpink, kini giliran PUBG untuk konsol dan PC pula, dan boleh dikatakan ia adalah acara kolaborasi yang lebih menyeluruh.

Acara ini akan bermula pada 8 Ogos sehingga 7 September untuk PC dan 12 Ogos sehingga 15 September untuk PlayStation 4 dan Xbox One.

Antara yang disertakan adalah hiasan berdasarkan Blackpink di peta Erangel, Miramar dan Vikendi. Ia boleh dijumpai melalui mod Normal Match, Esports Mode dan juga Ranked. Selain itu, kapal terbang juga akan membawa banner “Blackpink is here”.

Rekaan untuk Supply Crate dan juga asap yang meneaminya juga akan ditukar kepada warna merah jambut, dengan logo Blackpink terdapat di Crate tersebut. Ia adalah untuk peta Erangel, Miramar, Sanhok, Vikendi, Karakin dan Taego untuk mod Normal Match sahaja. Pemain boleh mendapatkan Pelindung Kepala Tahap 3 Blackpink melaluinya.

Namun, yang paling menarik dan juga mungkin paling mahal adalah barangan kosmetik berdasarkan Blackpink juga akan ditawarkan untuk setiap ahli Blackpink. Pemain boleh dapatkan mengikut setiap ahli iaitu berkas Jisoo, Jennie, Rose, dan Lisa.

Pemain juga boleh dapatkan kesemuannya melalui berkas Blackpink Mega yang akan turut menyertakan penyembur dan payung terjun. Buat masa ini, harga untuknya masih tidak diumumkan.

Pemain juga boleh mendapatkan pelbagai ganjaran berdasarkan Blackpink dengan menyelesaikan misi untuk acara Blackpink Special Drops.

PUBG sudah dilancarkan untuk PlayStation 4, Xbox One dan PC. Ia juga boleh dimainkan di PlayStation 5 dan Xbox Series melalui keserasian belakang.

Sohor Kini