Axle Motosports telah mengumumkan yang E1 Championship iaitu kejohanan esukan perlumbaan kereta akan kembali buat kali ketiga tahun ini iaitu E1 Championship Musim 2.

Pendaftaran untuknya kini dibuka sehingga 6 Ogos 2021, mereka mengumumkan kos pendaftaran tahun ini lebih murah untuk satu pasukan dengan dua pemandu iaitu lebih kurang RM10 ribu berbanding RM12 ribu untuk musim lepas. Pendaftaran boleh dilakukan melalui pautan ini; https://www.e1championship.com/

Selain itu, mereka juga mengumumkan kali ini E1 Championship akan menggunakan platform iRacing berbanding Raceroom yang digunakan untuk dua musim yang lepas.

Kejohanan akan bermula pada 25 Ogos untuk pusingan pertama diikuti pusingan kedua sehingga kelima pada bulan September dan tiga lagi pusingan pada bulan Oktober. Ia akan melibatkan 14 pasukan iaitu 28 pemandu dengan hadiah terkumpul $15 ribu.

Bagi anda yang berminat untuk menonton, setiap pusingan akan disiarkan secara langsung melalui eGG Network semasa hari kejohanan. Pada Musim 1, kejohanan ini dimenangi oleh AR Muhammad Aleef dari pasukan Flash yang juga memenangi Pasukan terbaik.

Sohor Kini