7 Permainan Menarik Untuk Bulan Ogos 2021

Kita sudah memasuki separuh kedua untuk tahun 2021, dengan banyak permainan telah ditunda ke tahun hadapan, kita boleh katakan yang tahun ini bukanlah tahun terbaik untuk permainan video. Terutama kerana tahun ini sepatutnya menjadi tahun lengkap pertama untuk generasi baharu akan tetapi kedua-dua konsol tidak kira PlayStation 5 mahupun Xbox Series sedikit sahaja menerima permainan yang benar-benar menggambarkan generasi ini.

Namun, ia tidak bermakna yang tiada permainan yang menarik, seperti bulan-bulan yang lepas, bulan ini juga membawa pelbagai permainan menarik, ada permainan dengan IP baharu seperti Naraka: Bladepoint, Humankind dan juga New World. Ada juga permainan susulan seperti Psychonauts 2 dan No More Heroes dan juga permainan yang menerima kandungan tambahan ataupun platform tambahan seperti Hades dan Ghost of Tsushima.

Oleh itu, berikut adalah 7 permainan menarik untuk bulan Ogos 2021.

Naraka: Bladepoint

NetEase Games | PC | 12 Ogos 2021

Naraka: Bladepoint adalah satu lagi permainan battle royale, akan tetapi ia bukan sekadar ‘satu lagi’ sebaliknya turut membawa sesi permainan yang unik. Di dalam pertempuran 60 pemain ini, pemain boleh memilih pelbagai watak yang mempunyai kebolehan serta keupayaan tersendiri. Ia juga memfokuskan kepada pertempuran jarak dekat serta menyertakan kawasan yang mencukupi untuk pemain mengembara.

Pada 12 Ogos ini, Naraka: Bladepoint akan dilancarkan untuk PC, akan tetapi ia juga diumumkan untuk konsol iaitu PlayStation 5 dan Xbox Series terlebih dahulu akan tetapi buat masa ini masih tiada tarikh pelancaran untuknya.

Hades

Supergiant Games | PS4, PS5, Xbox One, Xbox Series | 13 Ogos 2021

Antara permainan terbaik pada tahun lepas, Hades akhirnya akan tiba untuk lebih banyak platform. Pada 13 Ogos ini ia akan dilancarkan untuk PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One dan Xbox Series selepas dikeluarkan untuk Nintendo Switch dan juga PC pada tahun lepas yang telah memberikan permainan pencalonan di dalam kategori permainan terbaik ketika The Game Awards tahun lepas.

Hades adalah permainan rogue-lite di mana pemain akan mengawal Zagreus iaitu anak kepada Hades, ‘Tuhan kepada Neraka’, di dalam permainan ini Zagreus cuba untuk melarikan diri daripada neraka tersebut akan tetapi ia dihalang oleh pelbagai pengikut Hades dan juga Hades sendiri tetapi pada masa sama Zagreus juga dibantu oleh ‘Tuhan-tuhan’ yang lain. Walaupun mati, pemain akan dihidupkan semula untuk mencuba sekali lagi sehinggalah berjaya.

Humankind

SEGA | PC | 18 Ogos 2021

Genre permainan strategi sejarah sudah lama diterajui oleh Civilization, walaupun permainan terbaru untuk siri tersebut dikeluarkan hampir 5 tahun yang lepas, akan tetapi ia masih lagi permainan pilihan genre ini. Amplitude Studios dan SEGA pada 18 Ogos ini bakal hadir dengan pesaing untuk permainan tersebut iaitu Humankind. Buat masa ini ia diumumkan untuk PC sahaja.

Di dalam Humankind, berbanding memilih watak-watak sejarah, pemain boleh menghasilkan watak tersendiri dan perlu membina satu tamadun dengan melalui lebih 60 era sejarah yang berbeza. Setiap budaya ini akan membawa bentuk permainan yang berbeza. Selain itu pemain juga perlu mengurus perhubungan diplomatik ataupun merancang strategi peperangan.

Ghost of Tsushima Director’s Cut

Sucker Punch Productions | PS4, PS5 | 20 Ogos 2021

‘Director’s Cut’ telah menjadi satu judul yang digunakan oleh Sony Interactive Entertainment untuk membawa versi baharu kepada permainan yang sudah dikeluarkan sebelum ini. Bagi Ghost of Tsushima Director’s Cut selain menyertakan pelbagai penambah-baikkan terutama bagi grafik dan juga animasi untuk PlayStation 5, ia juga akan menyertakan satu kawasan baharu.

Tidak kira untuk pemain yang sudah menghabiskan permainan utama, sedang bermain ataupun tidak lagi bermula, satu kawasan baharu disertakan iaitu Kepulauan Iki. Ia akan membawa penceritaan baharu, watak baharu dan Jin Sakai juga akan pakaian serta senjata baharu. Bagi pemilik Ghost of Tsushima di PS4, versi ini boleh dinaik taraf dengan harga RM89 untuk PS4 atau lebih kurang RM139 untuk versi PS5.

Psychonauts 2

Double Fine | PS4, Xbox One, Xbox Series, PC | 25 Ogos 2021

Selepas 6 tahun permainan Psychonauts dikeluarkan oleh Double Fine, Psychonauts 2 akhirnya akan dilancarkan pada 25 Ogos ini. Walaupun Double Fine sudah menjadi sebahagian daripada Xbox Game Studios akan tetapi ia masih lagi akan dilancarkan untuk PlayStation 4, namun buat masa ini masih tidak mempunyai versi khusus untuk PlayStation 5.

Pengambil-alihan tersebut juga dikatakan membantu Double Fine untuk menyertakan lebih banyak kandungan bagi permainan ini yang sepatutnya dilancarkan pada tahun 2018 tetapi telah ditunda beberapa kali sebelum akhirnya akan dikeluarkan pada bulan ini. Ia adalah permainan platformer yang juga menyertakan pelbagai kuasa seperti telekinesis dan juga pyrokinesis di mana pemain akan mengawal watak Raz.

No More Heroes 3

Grasshopper Manufacture | Nintendo Switch | 27 Ogos 2021

Selepas permainan Travis Strikes Again: No More Heroes yang dikeluarkan pada tahun 2019, Grasshopper Manufacture kembali dengan permainan baharu yang dikatakan sebagai permainan susulan untuk siri No More Heroes. Ia bukan sahaja kembali menjadi permainan third person, tetapi No More Heroes 3 juga akan menyertakan kembali dunia terbuka seperti permainan pertama.

Di dalam permainan ini, pemain sekali lagi akan mengawal watak Travis Touchdown dengan bentuk pertempuran Hack & Slash, berbanding satu dunia yang luas, permainan ini akan menyertakan 5 kawasan berbeza yang pemain boleh teroka untuk melakukan misi utama dan juga misi sampingan seperti kerja upah ataupun kontrak pembunuhan. Ia akan dilancarkan pada 27 Ogos secara eksklusif untuk Nintendo Switch.

New World

Amazon Games | PC | 31 Ogos 2021

Studio permainan video oleh syarikat gergasi Amazon sudah ditubuhkan sejak tahun 2012 lagi, akan tetapi sehingga sekarang mereka masih tidak mempunyai permainan yang benar-benar membawa nama mereka. Beberapa permainan sebelum ini seperti Crucible dihentikan semasa peringkat beta dan MMO untuk Lord of the Rings telah dibatalkan sebelum siap dibangunkan.

Permainan seterusnya yang dipertaruhkan oleh mereka adalah New World iaitu permainan MMORPG yang akan dilancarkan pada 31 Ogos 2021 selepas beberapa kali tertunda. Buat masa ini, ia hanya dikeluarkan untuk PC. Berdasarkan percubaan melalui versi beta, ramai pemain terutama pemain-pemain yang berpengalaman bermain World of Warcraft dan Final Fantasy XIV Online mengatakan yang ia adalah permainan yang berpotensi.

Boleh dikatakan yang pada bulan ini, 7 permainan menarik yang kami sertakan di senarai ini hadir dengan pelbagai genre permainan yang akan memenuhi keinginan pemain-pemain berbeza. Selain 7 permainan ini, terdapat juga permainan lain seperti Godfall yang akan dikeluarkan untuk PS4 selepas dikeluarkan untuk PS5 dan PC sahaja sebelum ini, Madden NFL 22 bagi anda yang meminati permainan simulasi American Football ataupun King’s Bounty 2 oleh Prime Matter jika anda menyukai permainan RPG.

Sohor Kini