PlayStation hari ini telah melancarkan satu laman untuk berkongsi cara pemasangan storan tambahan untuk PlayStation 5. Namun buat masa ini ia hanyalah terhad kepada pemilik PS5 yang menggunakan sistem operasi versi beta.

Sistem operasi versi beta hanya tersedia kepada pemilik PS5 di Amerika Syarikat, Kanada, UK, Jerman, dan Perancis sahaja.

PlayStation 5 semasa dilancarkan lagi sudah mempunyai slot untuk tambahan storan menggunakan jenis storan M.2 SSD, akan tetapi ia tidak dibuka untuk penggunaan kerana Sony masih lagi memastikan jenis-jenis storan yang boleh digunakan. Ia dijangka akan dibuka kepada semua pada suku ketiga tahun ini, dan dengan ia sudah pun memasuki beta, kemungkinan semua pemilik PS5 akan dapat menggunakannya tidak lama lagi.

Menurut laman tersebut lagi, ia akan menyokong storan yang menggunakan saiz 250GB sehingga 4TB, dengan antaramuka PCIe Gen4 x4 M.2 NVMe SSD. Ia juga mesti mempunyai kadar bacaan 5,500MB/s atau lebih pantas. Storan tersebut juga mesti mempunyai panjang 22mm maksimun dengan rekaan bentuk jenis 2230, 2242, 2260, 2280 dan 22110. Anda boleh baca keperluan lain termasuk juga berat dan penggunaan penyejuk di laman ini.

PlayStation 5 hadir dengan storan 825GB sahaja, dan untuk sesetengah pemain ia tidak mencukupi, hadirnya penambahan storan ini sudah semestinya sesuatu yang baik, walaupun harganya mungkin masih mahal untuk masa ini.

*artikel dikemaskini untuk tajuk yang lebih jelas dan menyertakan negara yang mendapat akses sistem operasi versi beta.

Sohor Kini