Streamline Media Group yang merupakan syarikat induk kepada 5 studio permainan video yang kesemuannya bertempat di Malaysia iaitu All Pixels, Streamline Studios, Streamline Games, Day Zero dan Streamframe telah mengumumkan yang Shawn Layden telah menyertai Lembaga Penasihat untuk mereka.

Shawn Layden sudah semestinya satu nama yang dikenali ramai apabila beliau sebelum ini merupakan pengerusi untuk PlayStation Worldwide Studios dan juga CEO untuk Sony Interactive Entertainment America dan telah bersama dengan PlayStation lebih 30 tahun sebelum meninggalkan syarikat dari Jepun tersebut pada tahun 2019.

Bersama dengan pengumuman ini, Shawn Layden juga telah mengatakan yang industri permainan video telah mencapai satu tahap di mana kos pembangunan tidak lagi lestari, dan perubahan perlu dilakukan. Beliau juga mengatakan yang Streamline mempunyai keupayaan untuk menyelesaikan masalah-masalah pembangun dan berada di posisi yang baik untuk mengubah industri ini.

Streamline melalui lima studio mereka banyak terlibat dengan pembangunan untuk permainan oleh pihak ketiga, namun mereka juga mempunyai beberapa permainan tersendiri seperti Bake ‘n Switch.

Sohor Kini