Pertama kali saya melihat treler untuk Scarlet Nexus, ia mengingatkan saya kepada permainan seperti God Eater 3 dan juga Code Vein yang dikeluarkan pada tahun 2019, kedua-dua permainan membawa bentuk permainan berbeza tetapi menyertakan rekaan grafik dan watak yang lebih kurang sama.

God Eater 3 dan Code Vein adalah satu permainan yang sederhana, ia baik untuk dimainkan akan tetapi tidak lebih daripada itu. Ia adalah satu perkara yang telah menjadi kebiasaan bagi permainan Bandai Namco, setiap tahun mereka mengeluarkan banyak permainan tetapi tiada yang terlalu menyerlah.

Oleh itu, secara jujurnya saya merasakan perkara yang sama untuk Scarlet Nexus, “ia adalah satu lagi permainan oleh Bandai Namco”. Pada awalnya, jangkaan saya boleh dikatakan tepat, namun selepas meluangkan sedikit masa bermain dan sehingga menghabiskannya, saya sangat terkejut dengan keseluruhan permainan Scarlet Nexus dan ia adalah permainan terbaik dikeluarkan oleh Bandai Namco untuk beberapa tahun ini.

Kisah Yuito Sumeragi dan Kasane Randall

Kejutan pertama mengenai permainan ini adalah penceritaan yang disertakan, ia menyertakan penceritaan yang sangat menarik dengan pelbagai cabang penceritaan yang baik. Permainan ini juga tidak menyertakan satu bahagian penceritaan sahaja, sebaliknya dua melalui pilihan dua watak pada awal permainan iaitu Yuito Sumeragi ataupun Kasane Randall.

Kedua-dua watak ini bukanlah sekadar pilihan jantina semata-mata, sebaliknya ia akan membawa penceritaan yang berbeza. Oleh kerana dua penceritaan mereka saling berkait, ada kejadian yang akan berlaku di kedua-dua watak, tetapi kebanyakannya adalah adegan yang berlainan.

Oleh itu, selepas menghabiskanya satu bahagian tidak kira Yuito ataupun Kasane terlebih dahulu, saya sudah mengetahui apa yang berlaku di bahagian lain akan tetapi ia masih lagi sangat berbaloi untuk bermain sekali lagi bagi melihat bahagian seterusnya. Saya mencadangkan untuk bermula dengan Yuito terlebih dahulu kerana bahagian Kasane sedikit lebih rumit untuk dijadikan sebagai penceritaan utama.

Jika anda terasa ‘penat’ untuk mengulangi sekali lagi, anda juga boleh bermain satu lagi bahagian melalui New Game+ yang akan mengekalkan tahap pemain termasuk barangan yang diperoleh untuk sesi kedua. Ia akan menjadikan sesi tersebut lebih mudah dan anda boleh memfokuskan kepada penceritaan sahaja.

Sebagai anggota Other Suppression Force (OSF) di negara New Himuka, Yuito dan Kasane perlu membunuh Other iaitu raksasa yang terhasil daripada pertukaran bentuk haiwan-haiwan liar, maklumat lanjut mengenainya akan diceritakan di dalam permainan.

Seperti biasa, penceritaan akan berkembang melangkaui penceritaan pada awalnya, dan saya boleh katakan ia berlaku dengan pantas, setiap penceritaan bergerak dengan pantas dari satu adegan ke satu adegan, dari satu kejutan ke satu kejutan, rakan menjadi lawan, lawan menjadi rakan dan pelbagai lagi kejadian yang merancakkan penceritaan.

Terdapat tiga cabang penceritaan utama, ketiga-tiga cabang ini akan melibatkan kedua-dua watak akan tetapi di dalam sudut yang berbeza. Dua cabang penceritaan adalah baik, akan tetapi ada satu cabang penceritaan yang akan menjadi penutup untuk keseluruhan permainan terasa sedikit biasa. Namun, ia masih lagi cabang yang penting bukan sahaja menjadi penutup akan tetapi juga ia berkait rapat dengan dua cabang yang lain.

Walaupun sedikit kecewa dengan cabang tersebut, akan tetapi secara keseluruhan, ia masih lagi satu penceritaan yang baik, ia juga berakhir dengan baik dan memberi sedikit kepuasaan.

Kita-kan Kawan

Selain penceritaan utama, terdapat juga penceritaan sampingan yang memfokuskan kepada perhubungan di antara Yuito atau Kasane bersama dengan beberapa watak sampingan yang juga memainkan peranan penting di dalam pertempuran. Penceritaan sampingan ini akan disampaikan melalui Bond Episode bersama dengan watak-watak tersebut.

Di samping melakukan misi utama, hadirnya Bond Episode ini serba sedikit menjadi ruangan rehat kepada sesi permainan, akan tetapi sedikit perkara yang bagi saya sedikit janggal adalah ada masa Bond Episode tidak menggambarkan apa yang sedang berlaku di penceritaan utama walaupun jelas yang ia berlaku selepasnya. Ia masih lagi boleh diterima akan tetapi lebih baik jika dikemas-kan lagi.

Bukan sahaja sebagai penceritaan tambahan, Bond Episode ini juga membantu untuk meningkatkan tahap perhubungan dengan watak-watak tersebut, setiap kali meningkat tahap ia akan keupayaan yang lebih semasa bertempur dan bagi saya apabila mencapai bahagian pertengahan permainan, penambahan ini adalah penting untuk membantu pertempuran.

Pemain juga boleh memberi hadiah kepada watak-watak ini untuk mempercepatkan lagi peningkatan tahap, melakukan Bond Episode sahaja tidak akan mencukupi, ia memerlukan hadiah untuk mendapat tahap yang penuh. Setiap watak mempunyai hadiah tertentu yang disukai oleh mereka, anda boleh memberikannya berulang kali. Hadiah dihasilkan dengan mengakses bahagia kedai di dalam permainan ini dan menukarnya dengan bahan yang diperoleh semasa bertempur.

Bertempur Dengan Gaya

Selepas penceritaan, kejutan seterusnya adalah sistem pertempuran. Saya tidak boleh katakan ia adalah berlainan dengan permainan aksi lain, akan tetapi cara permainan ini melakukannya terasa segar dan saya mempunyai masa yang baik melakukan pelbagai jenis gerakan.

Pertama terdapat gerakan biasa menggunakan pedang untuk Yuito atau beberapa bilah pisau untuk Kasane. Pemain boleh melakukan serangan biasa, atau serang berat dan juga melakukan pelbagai kombo. Namun, perkara yang paling menyeronokkan dan juga paling penting adalah Struggle Arm System ataupun SAS.

Ia adalah kebolehan yang digunakan oleh OSF untuk memberikan pelbagai kuasa berbeza, Yuito dan Kasane berkongsi kuasa iaitu Psychokinesis di mana mereka boleh menggerakkan barangan persekitaran untuk digunakan semasa melawan. Bergantung kepada jenis barangan, ia akan memberi serangan berbeza. Mencuba barangan-barangan tersebut sangat menarik terutama ia juga akan membawa kepada ‘quick-time-event’ yang melakukan serangn lebih berkuasa, ataupun menaiki barangan tersebut untuk meluncur.

Ia menjadi lebih menarik apabila SAS juga membolehkan Yuito dan Kasane untuk “meminjam” kuasa daripada mana-mana watak yang bersama dengan mereka. Setiap watak ini akan mempunyai SAS yang berlainan contohnya Teleportation yang membolehkan pemain bergerak dengan pantas atau Pyrokinesis yang menjadikan setiap serangan mempunyai api.

Saya kemudiannya boleh menggunakan SAS ini untuk melakukan kombo yang lebih berkuasa, seperti apabila berhadapan dengan penjahat yang lemah dengan api, saya akan menggunakan Pyrokinesis. Selepas meningkatkan tahap dengan bertempur, Yuito dan Kasane juga akan menerima BP ataupun Brain Point yang boleh digunakan untuk membuka mana-mana slot di dalam Brain Map.

Ia boleh mempertingkatkan serangan, ataupun membolehkan pemain menggunakan SAS dengan lebih lama, ia juga membolehkan saya untuk mengaktifkan 3-4 SAS pada satu masa untuk menghasilkan kombinasi yang bukan sahaja bergaya tetapi sangat kuat.

Kombinasi yang saya sering lakukan adalah Duplication yang akan mencipta klon, ditambah dengan Pyrokinesis ataupun Electrokinesis untuk menjadikan serangan lebih kuat dan akhir sekali ditambah dengan Hypervelocity yang akan memperlahankan masa untuk saya melakukan serangn dengan lebih lama.

Tambahan kepada ini terdapat juga Brain Drive yang apabila mencapai satu tahap semasa pertempuran, pemain akan memasukinya secara automatik, terdapat juga Brain Field yang pemain boleh memasukinya, ia juga akan memberi serangan yang lebih berkuasa dan lebih mudah dan seterusnya adalah Brain Crush, apabila memecahkan perisai sesuatu penjahat, pemain boleh melakukan Brain Crush yang kebanyakan penjahat akan membunuh terus.

Pelbagai perkara berbeza ini pada awalnya nampak macam terlalu banyak perkara untuk diingatkan, namun apabila saya bermain untuk satu jangka masa, setiapnya terasa sangat semula jadi dan senang untuk dilakukan. Ini ditambah lagi dengan Scarlet Nexus menyertakan isyarat grafik dan juga bunyi untuk membantu saya mengetahui bila ingin melakukan setiap serangan berbeza tersebut.

Pada satu masa pemain boleh membawa dua orang rakan di dalam satu skuad untuk bertempur bersama, akan tetapi SAS boleh digunakan walaupun watak tidak di dalam skuad. Dua watak tersebut akan membantu untuk bertempur tetapi kesannya adalah kecil sahaja, selebihnya masih lagi pemain perlu menyerang secara sendiri.

Pemain boleh mendapatkan senjata yang lebih berkuasa untuk Yuito atau Kasane, dan juga untuk rakan-rakan, ia boleh dibeli ataupun dengan menukarnya dengan bahan yang diperoleh semasa bertempur. Terdapat pelbagai bahan berbeza bergantung kepada jenis penjahat, ia juga adalah secara rawak. Oleh itu, pemain mungkin perlu menyerang sesuatu penjahat di luar penceritaan untuk mempunyai bahan yang mencukupi.

Bagi saya kekuatan permainan ini melebihi penceritaan adalah sistem pertempuran yang sangat menyeronokkan, ada masa memasuki peringkat bagi penceritaan terasa berulang, dan selepas sekian lama pertempuran juga terasa seperti melakukan perkara yang sama, namun selepas mencuba pelbagai gaya serangan berbeza saya tidak pernah bosan dengannya.

Scarlet Nexus juga menyertakan pelbagai misi sampingan, tetapi kebiasaannya ia sekadar memerlukan pemain untuk menyerang sesuatu penjahat dengan gaya tertentu. Saya boleh katakan misi-misi sampingan ini adalah bahagian paling lemah di dalam permainan ini, selepas melakukan dua-tiga misi sampingan, saya terus tidak melakukannya walaupun selepas menamatkan permainan ini.

Kelancaran Generasi Terkini

Menambah-baik lagi sesi pertempuran adalah rekaan grafik serta prestasi permainan yang sangat baik. Di PlayStation 5 dan Xbox Series X ia menyasarkan resolusi 4K dengan kadar kelancaran 60FPS. Manakala di PlayStation 4 dan Xbox One ia menyasarkan 1080p dan kadar kelancaran 30FPS. Oleh kerana saya bermain di Xbox Series X, saya boleh katakan pengalaman saya bermain adalah untuk konsol ini, PS5 dan juga PC.

Prestasi yang diberikan adalah sangat baik, sepanjang sesi permainan sangat jarang di mana kadar kelancaran jatuh dengan mendadak, naik turun berlaku akan tetapi tidak sangat mengganggu sesi permainan dan ada masa tidak perasan langsung. Dengan pelbagai kesan visual yang berlaku seperti api, bersama dengan pelbagai barangan berterbangan saya sangat kagum dengan pencapaian untuk memastikan kadar kelancaran adalah stabil.

Dengan aksi yang pantas di dalam permainan ini, saya merasakan pengalaman yang terbaik adalah dengan mendapat sekurang-kurangnya 60FPS, oleh itu saya berpendapat yang Scarlet Nexus walaupun dikeluarkan juga untuk konsol generasi lepas akan tetapi ia adalah permainan untuk konsol generasi terkini ataupun PC yang mempunyai spesifikasi yang baik.

Bagi rekaan grafik pula, seperti saya katakan sebelum ini ia hampir sama dengan gaya untuk Code Vein ataupun God Eater 3, akan tetapi Scarlet Nexus mempunyai rekaan yang lebih baik untuk watak dan juga rekaan penjahat. Kebanyakan adegan disampaikan dengan gaya seperti novel visual, ia tidak semenarik, adegan animasi akan tetapi masih mencukupi untuk menyampaikan penceritaan.

Ia juga mempunyai beberapa adegan animasi untuk bahagian penceritaan yang penting, ia sedikit sahaja berbanding keseluruhan permainan akan tetapi masih mencukupi untuk menyampaikan bahagian penting tersebut. Ia juga dihasilkan dengan baik.

Kesimpulan

Scarlet Nexus seperti saya katakan pada awal ulasan adalah kejutan untuk tahun ini, ia permainan yang mungkin ramai berfikir dua kali untuk mendapatkannya, akan tetapi selepas saya bermainnya sendiri, melihat kedua-dua penceritaan ia adalah permainan yang sangat baik dan saya mempunyai masa yang sangat menyeronokkan bermain.

Dua perkara utama yang menjadikan ia satu permainan yang harus dicuba oleh semua adalah penceritaan dan juga bentuk pertempuran. Penceritaan yang mempunyai pelbagai cabang dibantu dengan ramai watak yang menarik telah membuatkan sesi permainan yang segar.

Tidak cukup dengan itu, ia juga mempunyai bentuk pertempuran yang menarik dan pelbagai, penggunaan serangan berbeza dengan kombinasi kuasa yang berlainan menjadikan setiap pertempuran sentiasa rasa berlainan dan tidak membosankan. Pengisian peringkat dan juga misi sampingan sedikit berulang akan tetapi secara keseluruhan ia adalah pengalaman yang memuaskan.

Saya sangat berpuas hati dengan prestasi permainan dengan rekaan grafik terutama apabila bermain di konsol generasi terkini, Xbox Series X ataupun PlayStation 5, bergantung kepada spesifikasi ia juga seharusnya baik di PC. Namun, saya tidak boleh memberi pendapat mengenai PS4 ataupun Xbox One kerana saya merasakan dengan sesi pertempuran permainan ini, 60FPS adalah satu perkara yang penting untuk pengalaman keseluruhan permainan.

Oleh itu, Scarlet Nexus adalah permainan yang harus dicuba oleh semua terutama jika anda menyukai permainan aksi pengembaraan.

Penafian: Permainan Scarlet Nexus untuk PS5 disediakan oleh Bandai Namco, akan tetapi untuk tujuan ulasan ini kami menggunakan versi Xbox Series X yang dibeli sendiri.

Scarlet Nexus
Scarlet Nexus adalah permainan aksi pengembaraan yang boleh dikatakan sebagai satu kejutan. Ia membawa sesi permainan yang menarik melalui penceritaan dan juga pertempuran.
Positif
Penceritaan Yang Padat Dan Menarik
Bentuk Pertempuran Yang Menyeronokkan
Prestasi Grafik Yang Baik Di Xbox Series X
Negatif
Peringkat Direka Dengan Sedikit Berulang
Misi Sampingan Yang Tidak Menarik
8

Sohor Kini