Ubisoft telah mengumumkan yang penambahan seterusnya untuk Assassin’s Creed Valhalla iaitu The Siege of Paris akan dilancarkan pada 12 Ogos ini. Ini merupakan penambahan ketiga dan juga terakhir bagi pas semusim pertama bagi permainan tersebut, sebelum ini mereka melancarkan The Legend of Beowulf dan Wrath of the Druids.
The Siege of Paris akan membawa Eivor ke satu kawasan baharu iaitu Francia, ia akan menawarkan misi baharu, termasuk juga kembalinya Inflitration Missions, di mana pemain boleh memilih pelbagai cara untuk membunuh sasaran tertentu. Selain itu, Eivor juga akan menerima peralatan, senjata dan kebolehan baharu.
Ia adalah sebahagian daripada Pas Semusim yang boleh dibeli dengan harga RM125 ataupun dibeli secara berasingan dengan harga RM79.
Selain itu, Ubisoft juga telah mengumumkan pengajuran acara masa terhad iaitu Sigrblot Festival akan bermula pada 29 Julai dan berlangsung sehingga 19 Ogos 2021. Ia akan menyertakan pelbagai penambahan kandungan dan juga ganjaran untuk diperoleh.
Antara penambahan yang akan tiba di Ravensthorpe adalah pertandingan untuk Flyting, Pertempuran dan juga permainan Dadu baharu. Ia juga akan menyertakan 3 misi tambahan. Pemain akan berpeluang untuk mendapatkan penghiasan dengan menebus menggunakan Sigrblot Token yang diperoleh dengan melakukan aktiviti semasa acara ini berlangsung.
Assassin’s Creed Valhalla sudah dilancarkan untuk PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series dan PC.