Death Stranding adalah permainan sulung oleh Kojima Productions selepas mereka meninggalkan Konami, ia juga adalah permainan seterusnya oleh Hideo Kojima oleh itu tidak mengejutkan jika ia adalah permainan yang menarik perhatian ramai. Namun, selepas dikeluarkan pertama kali pada tahun 2019 mereka tidak berkongsi jumlah permainan tersebut telah terjual.

Melalui temubual bersama dengan Game Industry, Ketua Penerbit untuk Kojima Productions Jay Boor telah mengumumkan yang setat bulan Mac 2021, permainan tersebut telah terjual sebanyak 5 juta unit untuk PlayStation 4 dan juga PC. Bagi mereka, ia adalah satu prestasi yang sangat baik terutama sebagai permainan sulung mereka.

Death Stranding telah dilancarkan sebagai permainan eksklusif untuk PlayStation 4, sebelum turut tiba untuk PC selepas 8 bulan kemudian. Mereka tidak mengumumkan pecahan jualan mengikut konsol, akan tetapi berkemungkinan besar PS4 melebihi PC.

Kojima Productions akan melancarkan versi Director’s Cut bagi permainan tersebut pada 24 September ini yang akan dilancarkan untuk PlayStation 5, ia sudah semestinya akan meningkatkan jumlah jualan, sekurang-kurangnya untuk pemain yang membayar bagi mendapatkan naik taraf.

Buat masa ini, Kojima Productions sekadar mengesahkan yang mereka sedang membangunkan permainan baharu, akan tetapi masih tiada perkongsian lanjut mengenainya. Namun, berdasarkan laporan, mereka sudah menandatangani surat hasrat untuk bekerjasama dengan Xbox Game Studios.

Sohor Kini