Legends of Tomorrow akan kembali untuk musim ketujuh. Di acara Comic-Con@Home yang berlangsung hari Ahad, Warner Bros. TV di panel mereka telah berkongsi sedikit sebanyak perkembangan dunia siri TV DC mereka. Matt Ryan selaku pelakon bagi watak John Constantine akan menamatkan watak beliau.
Tetapi, beliau masih lagi di dalam siri TV ini. Cuma, beliau telah ditulis untuk memainkan watak baharu Dr. Gwyn Davies – iaitu seorang saintis dari awal abda ke-20. Matt Ryan yang sebelum ini menjadi Constantine dalam siri TV tersendiri untuk satu musim, mula menjadi watak penampilan khas dalam musim ketiga Legends of Tomorrow dan ditawarkan sebagai watak tetap sejak musim keempat.

Disebabkan Warner Bros. TV dan studio J.J. Abrams Bad Robots akan mengolah semula watak ini sebagai versi berkulit gelap – Matt Ryan terpaksa berhenti memainkan watak kegemaran ramai ini. Matt Ryan boleh dikatakan adalah pelakon John Constantine yang cukup hebat, sehinggakan beliau turut meneruskan watak ini dalam versi animasi.
Turut menjadi pelakon tetap baharu adalah Gideon iaitu lakonan Amy Louise Pemberto, pembantu digital pesawat rentas-masa Waverider pasukan Legends. Kali ini bukan dalam bentuk hologram atau suara sahaja, tetapi dalam bentuk manusia sepenuhnya sepanjang musim ketujuh. Gideon pernah menjadi watak manusia dalam beberapa episod, cuma hanya seketika sahaja.

Di Internet, ramai peminat mula marah atas The CW dan Warner Bros, yang menghentikan Matt Ryan memainkan watak Constantine. Setakat ini, Matt dilihat menerimanya dengan seadanya dan tidak sabar untuk mencuba menjayakan watak saintis baharu beliau.