Dune adalah novel karya oleh Frank Herbert yang diterbit pada tahun 1965. Pada tahun 1984, adaptasi pertama filem ini telah dihasilkan dengan arahan daripada David Lynch. Tetapi pada ketika itu, filem ini boleh dikatakan adalah filem yang gagal dengan dakwaan David tidak memahami sumber sehinggakan menerima maklum balas negatif.

Selepas 37 tahun, olahan semula filem ini telah disahkan. Ia akan diarahkan oleh Denis Villeneuve yang terkenal dengan filem Blade Runner 2049, Arrival dan Sicario – di mana setakat ini filem-filem beliau semuanya hebat belaka dan berjaya menarik perhatian umum. Jadi filem ini mempunyai satu harapan yang tinggi.

Baru-baru ini, video acah kedua telah diterbitkan selepas yang pertama dipertontonkan pada September tahun lepas. Kali ini, video memberi fokus kepada watak Chani lakonan Zendaya – iaitu penghuni planet Arakis yang ingin ditawan oleh ramai orang kerana ada sumber semula jadi Spice yang penting untuk perjalanan di antara najam.

Video turut memberi fokus kepada Leto lakonan Oscar Isaac iaitu ketua kepada House Atreides dengan anaknya Paul lakonan Timothee Chalamet – waris seterusnya yang akan menggantikan Leto. Filem ini dilihat cukup menarik dengan sinematografi yang dahsyat, serta barisan pelakon yang berbakat seperti Jason Momoa, Rebecca Ferguson, Josh Brolin dan ramai lagi.

Filem ini akan ditayangkan pada 22 Oktober akan datang dan ia akan dipecahkan kepada dua bahagian. Buat masa ini, bahagian kedua masih tiada tarikh tayangan lagi.

Sohor Kini