Sports Interactive iaitu pembangun untuk siri simulasi pengurusan kelab bola sepak Football Manager telah mengumumkan secara rasmi yang mereka sedang membangunkan tambahan kandungan liga, negara dan juga pemain bola sepak wanita. Mereka sudah memulakan sejak beberapa tahun lepas akan tetapi hanya bersedia untuk dikongsikan sekarang.

Mereka juga mengumumkan yang ia tidak akan dijadikan sebagai satu permainan berasingan akan tetapi akan disertakan di dalam permainan Football Manager yang penuh. Namun, mereka tidak akan sekadar menambah pemain ataupun liga begitu sahaja, sebaliknya ia akan memerlukan pelbagai perubahan untuk disertakan dengan baik.

Pangkalan data untuk pemain bola sepak lelaki yang mereka sudah bina sejak berpuluh tahun yang lepas juga tidak boleh digunakan secara terus untuk pemain wanita, kerana ia akan memerlukan pelbagai penilaian semula. Selain itu, mereka juga mengatakan model animasi juga berbeza dan mereka perlu merekod animasi baharu untuk memberi sesuatu yang lebih realistik.

Selain itu, liga bola sepak wanita juga mempunyai peraturan serta konsep pemindahan pemain yang berbeza dengan liga-liga biasa. Terdapat juga pelbagai keadaan lain, contohnya jika pemain mengandung, adakah perlu untuk memperlihatkan perbezaan fizikal dan juga kesan keseluruhan kepada pemain tersebut.

Sports Interactive menegaskan yang mereka tidak akan sekadar memasuki kandungan baharu ini begitu sahaja, sebaliknya akan melakukan dengan kualiti yang sudah dijangkakan daripada permainan ini. Oleh kerana itu, kandungan ini akan terus dibangunkan dan mereka tidak mempunyai sebarang jangkaan bila ia akan tiba.

Sohor Kini