EA dan Respawn Entertainment akhirnya mengumumkan secara rasmi musim baharu untuk Apex Legends iaitu Emergence akan bermula pada 3 Ogos ini. Melaluinya, ia akan menyertakan Legend baharu, kemaskini untuk peta, senjata baharu dan juga Ranked untuk mod Arenas.

Seperti diperlihatkan sebelum ini, Legend baharu yang akan disertakan di dalam Apex Legends adalah Seer iaitu merupakan jenis Tracker, dia mempunyai dron-mikro yang boleh menjejak lawan. Selain itu, apabila menggunakan scope, Seer juga boleh mendengar denyutan jantung lawan.

Bagi Ultimate, Seer akan mengeluarkan dron tersebut untuk membentuk satu kawasan yang apabila lawan berlari, Seer akan mengetahui kedudukan mereka, akan tetapi tidak untuk pemain yang bergerak perlahan. Menurut Respawn, Seer merupakan Legend yang lebih baik digunakan secara menyelinap.

Selain itu, mereka juga mengumumkan yang peta World’s Edge akan menerima kemaskini utama yang akan diperlihatkan tidak lama lagi. Penambahan senjata pula adalah Rampage LMG yang dikatakan mempunyai peluru yang berbeza.

Akhir sekali adalah mod Arenas yang diperkenalkan pada musim lepas akhirnya akan mendapat Ranked tersendiri. Oleh itu, bagi pemain yang ingin bermain secara kompetitif, mereka kini mempunyai pilihan untuk bermain Battle Royale serta Arenas ataupun kedua-duanya.

Seperti biasa, musim baharu juga akan membawa Battle Pass serta Ranked baharu, Respawn Entertainment juga akan menawarkan Emergence Pack yang akan menyertakan kostum untuk Seer bersama dengan 600 Apex Coins. Ia akan tiba pada 12 Ogos ini.

Apex Legends sudah dikeluarkan untuk PlayStation 4, Xbox One, Switch dan PC. Ia boleh dimainkan di PlayStation 5 dan Xbox Series melalui keserasian belakang. Versi mudah alih Apex Legends Mobile juga sedang dibangunkan. Ia adalah permainan percuma dan menyertakan pembelian di dalam aplikasi.

Sohor Kini