Pada awal bulan ini, PUBG Mobile telah mengumumkan penganjuran acara Summer Rich yang akan memberi pemain peluang bukan sahaja untuk memenangi barangan di dalam permainan tetapi termasuk juga barangan di luar permainan seperti jongkong emas dan Motosikal MT-25.
Acara ini masih lagi sedang berlangsung sehingga 5 Ogos 2021, dan untuk memeriahkan lagi, mereka juga telah mengumumkan set pakaian berdasarkan penyanyi Rich Brian. Set pakaian Rich Brian Aerial Air Max apabila digunakan akan turut menukarkan watak pemain kepada Rich Brian. Ia boleh didapati sehingga 29 Julai.
Bersama dengan set pakaian ini, PUBG Mobile juga akan menyertakan pelbagai kostum dan hiasan senjata untuk diperoleh. Pemain juga boleh mendapatkan Rich Brian Crate dengan harga 60UC untuk berpeluang mendapatkan Set Pakaian Rich Brian Aerial Air Max, Hiasan Senjata Kar98k Rich Brian Aerial, Periuk Rich Brian Aerial Punk, Payung Terjun Rich Brian Aerial Punk, Hiasan Kapal Terbang Rich Brian Aerial Punk dan Pek Suara Rich Brian.
Selain itu, mereka juga menambah acara baharu iaitu “Catch Me If You Can”. Pemain perlu menyelesaikan 4 tugasan untuk mendapatkan nota muzik, dan perlu nyah-kunci 6 misi untuk bermain nota muzik tersebut bagi mendapatkan pelbagai ganjaran. Acara ini berlangsung sekarang sehingga 2 Ogos 2021.
PUBG Mobile sudah dilancarkan untuk iOS dan Android. Ia adalah permainan percuma dan menyertakan pembelian di dalam aplikasi.