Ubisoft minggu ini telah mengumumkan yang mereka akan hadir dengan permainan kompetitif baharu iaitu Tom Clancy’s XDefiant. Ia merupakan permainan FPS pertempuran arena 6 lawan 6, yang apabila dilancarkan akan ditawarkan secara percuma untuk PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series dan PC melalui Ubisoft Connect dengan fungsi rentas platform akan disokong di semua platform.

Di dalam permainan ini, watak pemain ataupun digelar sebagai Defiant akan terdiri daripada beberapa kelas berbeza yang kesemuanya diambil daripada siri permainan Tom Clancy’s yang lain. Pada pelancaran mereka menyertakan empat kelas iaitu Wolves (Ghost Recon), Echelon (Splinter Cell), Cleaners dan juga Outcasts (The Division).

Setiap kelas ini akan memberikan gajet berbeza kepada Defiant, contohnya Wolvers akan memfokuskan pertahanan menjadikan ia watak Tank, Echelon mempunyai gajet untuk melihat persekitaran menjadikan ia watak Support dan pelbagai lagi.

Pemain boleh menukar-menukar kelas ini sepanjang bermain, bersama dengan pelbagai pilihan senjata untuk menyesuaikan dengan keadaan perlawanan semasa. Ia akan menyertakan mod kompetitif seperti Team Deathmatch ataupun Domination dan juga mod yang lebih kasual iaitu Escort.

Ia masih lagi di peringkat awal pembangunan, dan sesi percubaan untuknya buat masa ini hanya terbuka kepada pemain di Amerika Syarikat dan Kanada, tambahan lokasi akan tiba pada masa hadapan.

Sohor Kini