Reuters telah melaporkan yang Tencent bakal mengambil alih studio pembangun permainan video iaitu Sumo Digital dengan kos $1.27 bilion (~RM5 bilion), sebelum pengambil-alihan secara penuh ini, Tencent sudah memiliki 8.75% pegangan untuk studio tersebut, menjadikan mereka pemegang saham kedua terbesar.

Sumo Digital merupakan studio yang sudah berpengalaman dan ditubuhkan sejak tahun 2003 iaitu 18 tahun yang lepas, mereka banyak terlibat dengan penerbit-penerbit pihak ketiga. Antara permainan terbaru yang dikeluarkan oleh mereka adalah Sackboy: A Big Adventure untuk SIE, Hood: Outlaws & Legends untuk Focus Home Interactive dan Crackdown 3 untuk Xbox Games Studio.

Selepas pengambil-alihan ini, Tencent dikatakan akan terus membenarkan untuk Sumo Digital membangunkan permainan untuk penerbit-penerbit lain, akan tetapi pada masa sama akan membantu Tencent jika mereka ingin hadir dengan permainan sendiri.

Ini merupakan satu lagi transaksi yang dilakukan oleh Tencent untuk memperluaskan lagi kehadiran mereka di dalam industri permainan video. Tahun ini sahaja mereka telah membeli pegangan dan juga mengambil alih lebih 5 studio permainan seperti Klei Entertainment, Dontnod Entertainment, Payload Studio, Bohemia Interactive dan Remedy Entertainment.

Sohor Kini