Pada bulan Mac lepas, kami sudah berkongsi mengenai satu permainan sosial yang dibangunkan oleh pembangun tempatan iaitu Police Sentri di mana ia dilancarkan secara beta dan boleh dicuba secara percuma.

Hari ini, Todak Studios telah melancarkan secara rasmi Police Sentri untuk Android melalui Play Store dan juga PC melalui itch.io. Di Android permainan ini ditawarkan secara percuma manakala untuk PC ia adalah permainan berbayar dengan harga $2(~RM8).

Todak Studios juga telah mengumumkan yang Police Sentri akan dilancarkan untuk iOS dan juga di Steam sebagai platform tambahan untuk PC dalam masa terdekat.

Bagi rakyat Malaysia, nyanyian “Polis entry one two jaga, Polis mati, Pencuri jaga” adalah sesuatu yang dikenali ramai. Melalui Police Sentri mereka juga membawa konsep permainan tersebut sebagai satu permainan video. Konsep permainan ini adalah sepertimana inspirasi untuknya iaitu pemain akan dibahagikan kepada 2 pasukan iaitu polis dan pencuri.

Polis perlu mengejar pencuri untuk memasukkan mereka ke dalam penjara, manakala pencuri pula perlu membawa lari kantung duit dan mereka juga boleh menyelamatkan rakan pencuri dari penjara. Polis dan pencuri juga akan dapat mendapatkan pelbagai “power-up” untuk membantu semasa mengejar ataupun melarikan diri.

Bagi versi penuh ini, Todak Studios telah menyertakan pelbagai tambahan untuk menjadikan permainan lebih menarik. Antaranya adalah sistem emote dan juga chat pantas, kedai di dalam permainan untuk membeli barangan kosmetik dan watak, pemain boleh mendapatkan mata wang permainan dengan bermain iaitu Kupang ataupun membeli secara terus Emas.

Todak Studios juga telah mengatakan yang pelbagai aktiviti di dalam permainan akan tiba dari semasa ke semasa yang akan turut menawarkan pelbagai ganjaran untuk pemain. Bersempena pelancaran, mereka akan menyertakan kotak misteri yang boleh dijumpai di dalam permainan sehingga 12 Ogos.

Setiap kotak misteri ini akan memberikan kepada pemain yang menjumpainya sebanyak RM1 ribu. Jika pemain menjumpainya, pemain sekadar perlu mengambil tangkapan skrin dan menghantarnya kepada Todak Studios sebagai bukti.

Sohor Kini