Sebelum ini, ia telah dilaporkan bahawa Valve bakal membangunkan sebuah konsol mudah-alih yang seakan-akan konsol Nintendo Switch. Hari ini, konsol tersebut telah rasmi diumumkan oleh syarikat tersebut, dan dinamakan Steam Deck.

Dari segi rekaan, Steam Deck hadir dengan paparan boleh-sentuh bersaiz 7 inci yang yang hadir dengan dua pengawal arah joystick dan D-Pad, bersama-sama butang ABXY bersama-sama dengan empat butang bahu dan empat lagi butang di bahagian belakang peranti ini. Ia juga hadir dengan dua pad sesentuh di bahagian sisi paparan skrin.

Dari segi konfigurasi, Steam Deck ini dimuatkan dengan komponen-komponen yang agak berkuasa, termasuklah sebuah APU AMD AMD Zen 2 yang dimuatkan dengan cip grafik AMD RDNA2, memori DDR4 sebanyak 16GB dan pilihan storan 64GB eMMC, ataupun 256GB dan 512GB SSD NVMe PCIe.

Konsol ini juga dimuatkan dengan bateri 40Wh yang boleh menggerakkan permainan-permainan untuk beberapa jam, sehingga 7 ke 8 jam bergantung kepada permainan yang digerakkan. Steam Deck akan menggunakan sistem operasi SteamOS yang dibangunkan semula khusus untuk Steam Deck, dan pengguna akan boleh menggunakan akaun Steam mereka untuk memuat-turun permainan-permainan Steam mereka untuk dimainkan pada konsol ini.

Secara ringkasnya, Steam Deck ini adalah sebuah komputer khusus yang menggerakkan perisian Steam dan hadir dengan kesemua fungsi-fungsi yang hadir pada versi desktop yang boleh digunakan tanpa masalah, seperti fungsi berborak melalui teks, pembelian permainan, sokongan fail simpanan awanan dan sebagainya.

Dari segi aksesori, Valve mengatakan bahawa konsol ini akan hadir dengan rangka penyimpanannya sendiri, dan sebuah dok akan ditawarkan untuknya tidak lama lagi.

Pra-tempahan untuk konsol ini akan dibuka bermula 16 Julai dan akan dilancarkan secara rasmi pada bulan Disember kelak untuk pasaran-pasaran tepilih seperti Amerika Syarikat, Kanada, Kesatuan Eropah dan United Kingdom. Steam Deck akan ditawarkan pada harga permulaan $399, $529 dan $649 bergantung kepada saiz storan yang dipilih.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Steam Deck ini, anda boleh melayari laman webnya di sini.

Sohor Kini