Mihoyo telah mengumumkan yang kemaskini seterusnya untuk Genshin Impact iaitu versi 2.0 akan dilancarkan pada 21 Julai 2021, dan boleh dikatakan ia adalah antara kemaskini terbesar bagi permainan tersebut. Kemaskini yang menggunakan judul “The Immovable God and the Eternal Euthymia” ini akan membawa pemain ke benua baharu iaitu Inazuma.

Penambahan yang paling dinantikan-nantikan sudah semestinya fungsi rentas kemajuan. Sebelum ini, pemain di PlayStation 4 dan PlayStation 5 tidak boleh menggunakan akaun mereka di PC ataupun di peranti pintar, namun melalui kemaskini terbaru ini, mereka akhirnya dapat melakukannya. Selain itu, mereka juga akan menyokong getaran haptik untuk DualSense di PS5.

Inazuma akan menjadi benua ketiga yang disertakan di dalam permainan ini, menyertai Mondstadt dan Liyue dan seperti dua benua tersebut, Inazuma juga akan membawa rekaan tersendiri dan akan mengambil inspirasi daripada rekaan penempatan di Jepun. Inazuma merupakan satu kepulauan yang dikelilingi oleh air dan mempunyai 6 pulau utama.

Kemaskini ini juga akan menyertakan pelbagai watak baharu dan tiga daripadanya adalah watak yang boleh dimainkan oleh pemain iaitu Kamisato Ayaka, iaitu watak 5-bintang yang menggunakan pedang dan berkuasa Cryo. Seterusnya adalah Yoimiya iaitu satu lagi watak 5-bintang, dia menggunakan panah dah berkuasa Pyro. Akhir sekali adalah Sayu yang merupakan watak 4-bintang yang menggunakan claymore dan berkuasa Anemo.

Manakala untuk Boss baharu pula, antara yang akan disertakan adalah Pyro Hypostasis, Perpetual Mechanical Array dan Maguu Kenki yang diperkenalkan semasa versi 1.6 lagi juga akan menjadi World Boss untuk pemain mendapatkan Character Level-Up di Inazuma.

Genshin Impact sudah dilancarkan untuk PlayStation 4, PlayStation 5, PC, iOS dan Android. Ia adalah permainan percuma dan menyertakan pembelian di dalam aplikasi.

Sohor Kini