EA Sports telah mengumumkan yang FIFA 22 akan dilancarkan pada 1 Oktober 2021 untuk PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series dan PC. Nintendo Switch akan terus menerima Legacy Edition. Video pengumuman boleh ditonton di bawah.

Antara pembaharuan yang menjadi fokus untuk FIFA 22 adalah teknologi HyperMotion di mana EA Sports mengatakan yang mereka telah merekod 22 pemain profesional bermain bola dengan memakai suit khas iaitu Xsens untuk merakam segala pergerakan mereka.

Tambah mereka, ini akan memberikan pergerakan yang lebih realistik untuk permainan FIFA 22. Setiap pergerakan yang dirakam tersebut kemudian melalui pembelajaran mesin untuk menghasilkan animasi kepada pemain di dalam permainan tersebut.

Ini juga memberi AI yang lebih bijak di mana AI kini boleh menilai 6 kali lebih banyak pilihan pergerakan pada satu masa manakala pertahanan boleh berfungsi sebagai sebahagian daripada taktik permainan. AI juga akan melakukan gerak tubuh yang lebih realistik seperti meminta bola ataupun mengarah pemain untuk melakukan serangan.

Teknologi HyperMotion ini adalah eksklusif untuk FIFA 22 di PlayStation 5, Xbox Series dan Stadia sahaja, oleh itu pemain di PlayStation 4, Xbox One dan PC tidak akan menerima fungsi ini. Manakala untuk Nintendo Switch, ia masih membawa permainan yang sama dengan tahun lepas dengan sekadar memperbaharui senarai pemain.

FIFA 22 ditawarkan dengan edisi iaitu edisi biasa dan edisi Ultimate, di mana pemain boleh mendapatkan Dual Entitlement iaitu mendapat versi PS4/PS5 atau Xbox One/Xbox Series. Pemain juga berpeluang untuk bermain FIFA 22 lebih awal iaitu pada 27 September 2021.

Sohor Kini