Moonton melalui wakil mereka Muhammad Arif Shahir telah berkongsi yang buat masa ini, Mobile Legends: Bang Bang mempunyai 100 juta pemain aktif bulanan secara global, selain daripada itu beliau juga mengatakan yang terdapat 5 juta pemain aktif di Malaysia.
Perkara ini dikongsi semasa acara sidang media untuk kejohanan Mobile Legends: Bang Bang Malaysia Championship yang akan bermula pada 2 Ogos ini. Ia adalah kejohanan amatur dan semi-profesional yang akan melibatkan 13 negeri dan Kuala Lumpur. Maklumat lanjut boleh dibaca melalui pautan ini.
Arif Shahir juga telah mengatakan yang Moonton akan meneruskan usaha mereka untuk menyokong komuniti-komuniti Mobile Legends dengan menganjurkan pelbagai acara tempatan seperti bersempena Hari Raya dan pelbagai perayaan lain.
Selain itu, mereka juga akan melakukan pelbagai aktiviti di sekolah dan juga institusi pengajian tinggi untuk menyokong dan memperkenalkan permainan mereka. Melalui program Community Hero, mereka juga membentuk komuniti di daerah-daerah di Malaysia, di mana buat masa ini sudah terdapat 77 daerah terlibat.
Seperti Mobile Legends: Bang Bang Malaysia Championship, Moonton juga akan memperbanyakkan lagi kejohanan terutama untuk semi-profesional dan juga amatur untuk menggalakkan lebih ramai pemain untuk bermain secara kompetitif.
Moonton pada tahun lepas, telah mengumumkan yang permainan tersebut telah dimuat turun sebanyak 1 bilion kali secara global. Mereka juga baru sahaja diambil-alih oleh pemilik TikTok iaitu Bytedance baru-baru ini.
Mobile Legends: Bang Bang sudah dilancarkan untuk iOS dan Android. Ia adalah permainan percuma dan menyertakan pembelian di dalam aplikasi.