Craig Mazin iaitu penerbit yang bertanggungjawab untuk menyelia penghasilan siri TV The Last of Us oleh HBO telah berkongsi beberapa maklumat lanjut mengenai siri tersebut. Di podsiar Scriptnotes, beliau telah mengatakan yang musim pertama untuknya akan mempunyai 10 episod dan akan melibatkan 5 orang pengarah berbeza. Episod pertama telah disahkan akan diarah oleh Kantemir Balagov.

Selain itu, Jasmila Zbanic dan Ali Abbasi juga disahkan akan mengarah beberapa episod dan dua lagi pengarah yang akan terlibat masih tidak diumumkan. Bagi musim pertama ini, ia akan menyertakan penceritaan daripada permainan pertama dan sedikit daripada permainan kedua. Selain itu, mereka juga akan menyertakan pelbagai adegan yang tidak terdapat di dalam permainan.

Seperti diumumkan sebelum ini, antara pelakon yang akan terlibat untuk siri ini adalah Pedro Pascal sebagai Joel, Bella Ramsey sebagai Ellie, Gabriel Luna sebagai Tommy, Merle Dandridge sebagai Marlene dan yang baru diumumkan Nico Parker yang akan menjadi anak kepada Joel iaitu Sarah.

Penggambaran untuk siri ini sudah pun bermula seperti gambar yang dikongsi oleh Gabriel Luna, dan ia dijangka akan disiarkan bermula pada bahagian kedua tahun hadapan.

Sohor Kini