Siri anime Demon Slayer ataupun Kimetsu no Yaiba boleh dikatakan diantara anime yang paling ramai peminat dan ditonton pada tahun 2019 melalui siri anime televisyen dan juga filem Demon Slayer: Mugen Train yang ditayangkan pada tahun lepas, yang menjadi bualan orang ramai, samada mereka peminat anime baru ataupun lama.
Terkini, UFOTable, studio animasi yang bertanggungjawab memberi nafas kepada siri anime tersebut baru sahaja mengeluarkan sebuah video treler baru mengenai musim kedua Demon Slayer. Tidak banyak butiran yang diketahui buat masa ini, tetapi ia mengesahkan bahawa ia akan bermula dengan bab penceritaan Entertainment District, yang mana ia akan memfokuskan kepada watak Pillar of Sound, Tengen Uzui.
Jalan cerita bab Entertainment District ini adalah sambungan terus kepada filem Mugen Train, dan butiran lanjut mengenai musim baru ini, seperti tarikh siaran, pelakon suara dan sebagainya akan diumumkan pada 13 Julai kelak. Apa yang pasti ialah ia akan disiarkan pada tahun ini, mungkin untuk jumlah episod yang sama seperti musim pertama.