Jika anda tidak mengenali nama studio JP Games, nama disebalik studio tersebut mungkin lebih biasa kedengaran untuk anda. Ia diasaskan Hajime Tabata, pengarah permainan Final Fantasy XV keluaran Square-Enix, yang boleh dikatakan ialah permainan JRPG yang paling popular dipasarkan oleh syarikat tersebut.
Tidak lama selepas permainan tersebut dipasarkan, Hajime Tabata meninggalkan Square-Enix dan membuka studio permainannya sendiri yang dinamakan JP Games. Terkini, studio tersebut telah mengumumkan dua projek besar dalam kerjasama dengan dua studio yang lain.
Tajuk kedua-dua permainan ini tidak diketahui lagi, tetapi Hajime Tabata telah mengesahkan bahawa kedua-dua permainan ini mengambil ilham daripada dua permainan yang dibangunkan olehnya semasa beliau berada di Square-Enix.
Permainan pertama mengambil ilham daripada Final Fantasy Type-0, yang mana ia merupakan sebuah permainan JRPG yang pantas dan boleh dilengkapkan dengan kadar yang agak pantas, tetapi mempunyai nilai main-semula yang agak tinggi.
Permainan kedua pula mengambil ilham daripada Final Fantasy XV yang hadir dengan kualiti pembangunan permainan AAA dan kebolehan untuk menjelajah dunia yang besar dan luas untuk sejumlah masa yang lama.
Menurut Hajime Tabata lagi, permainan yang berasaskan Type-0 baru lengkap fasa pra-produksi, manakala permainan satu lagi baru dalam fasa pembangunan awal. Setakat ini ia masih tidak diketahui lagi bilakah butiran lanjut mengenai kedua-dua pengumuman ini akan diumumkan.