Hermen Hulst iaitu Ketua PlayStation Studios telah mengumumkan yang mereka mengambil-alih Housemarque dan studio Finland tersebut secara rasmi menyertai PlayStation Studios. Mereka baru-baru ini hadir dengan permainan Returnal yang dilancarkan secara eksklusif untuk PlayStation 5.
Walaupun baru sekarang mereka menyertai PlayStation Studios, akan tetapi Housemarque telah banyak terlibat secara dekat dengan PlayStation dan juga Sony untuk permainan-permainan mereka. Kebanyakan permainan-permainan mereka yang dikeluarkan pada dekad lepas adalah secara eksklusif untuk konsol oleh Sony.
Berdasarkan temubual kami bersama dengan Housemarque iaitu bersama Pengarah Naratif Gregory Louden dan Pengarah Pemasaran Mikael Haveri, mereka mengatakan sejak 13 tahun lepas mereka telah berkembang bersama dengan Sony dan juga Xdev, dan melalui perhubungan ini dan juga kepercayaan di antara mereka memberikan mereka keyakinan untuk mengambil risiko bagi membangunkan pelbagai jenis permainan yang berbeza.
Housemarque sebelum ini mengatakan yang mereka sentiasa ingin menghasilkan permainan yang diluar permainan biasa, dengan sokongan oleh PlayStation ini, tampaknya usaha mereka akan lebih mudah untuk direalisasikan. Tahniah kami ucapkan kepada pasukan Housemarque.