E3 merupakan acara yang penting bukan sahaja untuk peminat permainan video tetapi juga setiap bahagian di dalam industri ini. Pembangunan permainan terutamanya indie, bukan sahaja ingin mempromosikan permainan mereka akan tetapi E3 juga akan menjadi tempat untuk mereka mencari penerbit yang berminat. Mendapat penerbit, boleh menjadi lampu hijau ataupun lampu merah untuk sesuatu permainan.
Manakala penerbit permainan pula, di-samping mempromosi permainan-permainan terbitan mereka, ia juga peluang untuk mereka berjumpa dengan syarikat-syarikat lain yang mungkin berminat untuk bekerjasama di dalam pelancaran sesuatu permainan, dan sudah semestinya mencari permainan-permainan menarik untuk diterbitkan.
Akhir sekali, sudah semestinya, E3 juga merupakan acara yang penting untuk peminat-peminat permainan video. Bagi berkemampuan ataupun berkesempatan, ia sudah semestinya menghadiri acara E3 secara fizikal adalah perkara yang menarik tetapi kebanyakan daripada pemain lain, terutama yang berada di luar Amerika Syarikat, persidangan adalah satu-satu perkara yang akan menarik minat mengenai E3.
Oleh itu, apabila acara E3 tahun ini, sepenuhnya dianjurkan secara digital, ia tidak memberi kesan yang besar mungkin pengalaman penyampaian sedikit berbeza jika ingin dibandingkan dengan persidangan yang dilakukan di-hadapan penonton. Dengan tahun lepas dibatalkan secara terus, walaupun sepenuhnya secara digital pada tahun ini, ia lebih baik daripada tiada langsung.
Selepas E3 selesai dianjurkan, berikut adalah beberapa perkara yang saya boleh katakan sebagai rumusan untuk acara kali ini;
Pandemik Covid-19 yang bermula pada awal tahun lepas, meneruskan lagi permasalahannya pada tahun ini. Kebanyakan tempat, walaupun dengan pelancaran vaksin masih terkesan. Studio-studio permainan video masih lagi ada yang terpaksa bekerja dari rumah. Permainan-permainan masih lagi ditunda, terutama yang sepatutnya tiba pada tahun ini.
Jika anda melihat persidangan Xbox contohnya, mereka memperlihatkan banyak permainan menarik akan tetapi kebanyakan permainan tidak mempunyai tarikh pelancaran ataupun tidak akan tiba pada tahun ini. Jika anda melihat senarai-senarai permainan menarik setiap bulan, ia juga tidak mempunyai senarai permainan sebaik tahun-tahun sebelum pandemik ini.
Satu platform yang tampaknya masih lagi mempunyai pelbagai penawaran yang menarik pada tahun ini adalah Nintendo Switch. Semasa persidangan mereka, ada beberapa sahaja permainan yang akan dilancarkan pada tahun-tahun depan, kebanyakan permainan lain akan dilancarkan pada tahun ini, termasuk juga permainan Metroid baharu yang pertama kali diumumkan pada tahun ini.
Bagi pemilik PlayStation 5 dan Xbox Series mungkin sedikit kecewa dengan penawaran permainan yang khusus untuk konsol generasi baharu tersebut akan tetapi bagi pemilik Nintendo Switch, mereka masih lagi mempunyai tahun yang sibuk pada tahun 2021 ini.
Sepanjang persidangan Xbox & Bethesda Showcase mereka memperlihatkan banyak permainan akan tetapi fokus utama adalah hampir 80% permainan yang diperlihatkan akan disertakan di dalam Xbox Game Pass. Mereka mempunyai konsol generasi terkini melalui Xbox Series X dan Xbox Series S, akan tetapi fokus utama tetap adalah anda boleh dapatkan permainan-permainan tersebut melalui Xbox Game Pass.
Jika mengikut jualan Xbox Series, ia adalah baik untuk dibandingkan dengan konsol-konsol Xbox generasi lain, akan tetapi masih lagi ketinggalan jika ingin dibandingkan dengan PlayStation 5. Namun, berdasarkan apa yang diperlihatkan sebelum-sebelum ini, termasuk juga semasa E3, jelas yang strategi mereka tidak lagi sekadar menjual konsol sebaliknya memastikan jumlah langganan Xbox Game Pass terus meningkat.
Sama ada strategi mereka akan berjaya ataupun tidak masih tidak sukar untuk dijangkakan, akan tetapi ia adalah satu strategi yang akan menjadi fokus utama mereka. Jika ingin mengambil kira mengenai jualan konsol, Xbox masih lagi ketinggalan berbanding PlayStation dan juga Nintendo Switch, namun Xbox Game Pass buat masa ini menjadi penyelamat untuk Xbox bagi memastikan mereka terus kekal relevan.
Dengan harga permainan meningkat generasi ini, tawaran Xbox Game Pass sudah semestinya semakin menjadi tarikan. Penantian sekarang adalah untuk Microsoft dan Xbox membawa perkhidmatan ini, termasuk juga konsol mereka secara rasmi di Malaysia.
Meneruskan apa yang diperlihatkan sebelum-sebelum ini, banyak permainan yang diperlihatkan semasa E3 adalah menggunakan treler adegan ataupun treler CGI yang tidak akan menggambarkan bentuk permainan. Ia menarik dan cantik untuk ditonton, akan tetapi jelas ramai pemain sudah mula mengharapkan untuk melihat bentuk permainan kerana ia lebih membantu di dalam membuat keputusan.
Ini adalah lebih-lebih lagi untuk permainan yang membuka sesi pra-tempah, agak mengelirukan jika sekadar mengeluarkan treler CGI dan membuka sesi pra-tempah selepas itu kerana pemain sudah semestinya tidak dapat membuat keputusan yang baik sama ada untuk melakukan pra-tempah ataupun tidak. Walaupun bagi kami, tiada sebab untuk anda pra-tempah sesuatu permainan melainkan terasa yang ia akan kehabisan stok bagi pembelian secara fizikal.
Walaupun tidak mempunyai sesi pra-tempah, treler CGI juga tampaknya sukar untuk memberi pemain menjadi teruja dengan permainan tersebut tidak seperti bagaimana Final Fantasy VII Remake ataupun Cyberpunk 2077 pertama kali diperlihatkan suatu ketika dahulu. Pemain kini lebih mementingkan treler bentuk permainan agar mereka tidak terasa tertipu.
Contoh terdekat yang kami boleh katakan adalah permainan Avatar oleh Ubisoft, treler yang diperlihatkan sangat cantik dan menawan, ia benar-benar satu dunia berdasarkan Avatar. Namun, pemain masih tidak pasti bagaimana ia akan dimainkan, oleh kerana itu, ia tidak lagi mencipta satu dorongan untuk menarik minat terhadap permainan tersebut. Ia juga mungkin kerana ia adalah permainan oleh Ubisoft.
Rungutan ini juga telah diperkatakan di dalam treler The Outer Worlds 2 yang boleh dikatakan sebagai satu treler yang jujur.
Berbeza pula dengan masalah yang dihadapi oleh Square Enix untuk permainan terbaru mereka iaitu Marvel’s Guardians of the Galaxy. Ketika Square Enix Presents, mereka buat pertama kali mengumumkan permainan tersebut, dan boleh dikatakan 50% daripada persidangan tersebut adalah memperlihatkan bentuk permainan untuknya.
Ia sudah semestinya lebih baik berbanding treler CGI akan tetapi kami merasakan mereka melakukan terlalu lama sehingga menyebabkan hilang minat terhadap apa yang cuba diperlihatkan. Ini ditambah lagi kerana apa yang diperlihatkan adalah perkara yang sama sahaja, dan pemilihan bahagian yang diperlihatkan juga tampak tidak menarik. Semasa kami menontonnya, kami sedikit risau dengan keseluruhan permainan.
Adakah ini bahagian yang paling menarik? Adakah permainan akan sekadar berulang seperti ini?
Namun, ini adalah masalah kecil sahaja, dan boleh diperbaiki mungkin dengan mengumumkan permainan ini terlebih dahulu secara ringkas sebelum memperlihatkan bentuk permainan dengan lebih mendalam. Mereka juga boleh memilih bahagian permainan yang lebih menarik, ataupun dengan tidak memilih sesuatu yang berterusan dan sekadar potongan untuk bahagian terbaik daripada permainan tersebut.
E3 tahun ini sudah semestinya mempunyai banyak kekurangan, ia juga tidak menghasilkan tarikan sepertimana tahun-tahun yang lepas, namun ia masih lagi lebih baik berbanding dibatalkan secara terus seperti tahun lepas. Adakah ia masih lagi satu acara yang relevan untuk industri permainan video?
Kami boleh katakan ya, ia masih lagi akan menjadi tumpuan ramai pemain yang ternanti-nanti untuk mengetahui permainan seterusnya yang akan dilancarkan serta pengumuman terbaru daripada penerbit-penerbit kegemaran mereka. E3 juga masih platform yang penting untuk pembangun dan penerbit bekerjasama walaupun cara sedikit berbeza.
Dengan keadaan menjadi lebih baik, terutama di Amerika Syarikat yang mula membenarkan acara-acara secara fizikal, E3 2022 berkemungkinan besar akan dianjurkan secara fizikal bersama dengan secara digital. Dengan kata lain, kembali kepada acara E3 yang kita kenali sebelum ini. Adakah Sony dan PlayStation juga akan kembali? Itu kita hanya boleh menunggu.
E3 tahun ini juga mungkin sedikit bosan kerana kebanyakan permainan kecuali yang diperlihatkan oleh Nintendo dan Ubisoft akan dilancarkan pada tahun depan, akan tetapi ia juga menandakan yang kita mungkin akan mempunyai satu acara E3 yang lebih menarik pada tahun hadapan. Oleh itu, bagi kami, E3 masih relevan dan ia akan terus menjadi acara yang mendapat perhatian oleh industri permainan video.