Supernatural merupakan antara siri TV The CW yang popular dan berjaya. Ia mempunyai 15 musim, di mana memfokuskan adik-beradik Winchester – iaitu Sam dan Dean lakonan Jared Padalecki dan Jensen Ackles. Siri TV ini mengisahkan dua beradik ini memburu setan, hantu, raksasa dan lain-lain yang misteri dan luar biasa. Siri TV ini adalah daripada Warner Bros. Television dengan kerjasama Wonderland Sound dan Vision. Supernatural adalah idea daripada Eric Kripke (kini fokus kepada siri TV The Boys).

Terkini, CEO The CW Mark Pedowitz mengumumkan yang siri TV ini akan diteruskan dengan siri sampingan pula dengan judul The Winchesters – iaitu prekuel yang menceritakan kisah cinta John dan Mary. Di mana dalam Supernatural dua watak ini dilakonkan oleh Jeffrey Dean Morgan dan Samantha Smith. Siri TV ini akan memfokuskan bagaimana mereka berdua bercinta dan memperlihatkan bagaimana kerja memburu hantu dan lain-lain makhluk luar biasa ini demi menyelamatkan hubungan masing-masing dan juga dunia.

Apa yang menarik adalah, Jensen Ackles akan kembali sebagai Dean Winchester dan beliau akan menjadi suara latar menceritakan kisah John dan Mary. Siri TV ini akan dihasilkan oleh Chaos Machine, iaitu syarikat produksi milik Ackels dan isteri beliau dengan skrip oleh Robbie Thompson.

Ini adalah kali ketiga projek siri sampingan Supernatural daripada The CW, selepas idea untuk Bloodlines diberikan pada 2014-2015 yang merupakan sampingan kepada episod ke-20 dalam musim ke-9 untuk beri fokus kepada watak Ennis Ross lakonan Lucien Laviscount. Kemudian pada 2017-2018, siri sampingan Wayward Sisters yang memfokuskan watak-watak wanita seperti Sherif Jody Mills (lakonan Kim Rhodes), Sherif Donna Hanscum (lakonan Briana Buckmaster) dan sekumpulan wanita bermasalah lain turut ditolak. Ia adalah kisah kepada episod ke-10 dalam musim ke-13. Kini CEO The CW Mark Pedowitz, mengharapkan The Winchesters boleh diteruskan.

Siri sampingan lain kepada Supernatural adalah Ghostfacers iaitu siri-web berjaya diterbitkan (kini sudah dibuang oleh The CW), Supernatural: The Anime Series daripada WB Jepun siri prekuel kisah Sam dan Jensen dengan 22 episod, dan juga siri Samuel Colt yang tidak diteruskan.

Sama-sama kita nantikan perkembangan siri sampingan baharu ini. Kepada peminat Supernatural, apakah pendapat anda dengan siri The Winchesters ini?

Sohor Kini