Pada bulan Mei lepas, Valve telah mengesahkan yang selepas ditunda tahun lepas, The International iaitu kejohanan terbesar untuk Dota 2 akan dianjurkan pada bulan Ogos ini di Stockholm, Sweden. Namun, melalui kemaskini terbaru, ia mungkin tidak berlaku seperti yang diharapkan.

Valve telah mengatakan yang Kesatuan Sukan Sweden tidak menganggap yang esukan adalah satu acara sukan, oleh itu ia akan menimbulkan masalah untuk pemain mendapat visa untuk memasuki Sweden sebagai atlit, terutama untuk pemain-pemain yang berada di luar Eropah.

Mereka juga mengatakan telah membuat rayuan kepada kementerian yang berkait tetapi telah ditolak, mereka melakukan rayuan sekali lagi tetapi masih tidak mendapat sebarang pengesahan. Oleh kerana itu, Valve mengatakan yang mereka mungkin akan mencari tempat baharu di Eropah untuk kejohanan ini.

Valve mengatakan yang mereka akan cuba sedaya upaya untuk memastikan kejohanan ini akan terus berlangsung dan pusingan kelayakan masih akan dijalankan seperti biasa.

Gabe Newell iaitu pengasas untuk Valve sebelum ini ada mengatakan yang New Zealand adalah antara tempat yang boleh menjadi tuan rumah untuk The International, akan tetapi dengan mereka masih menyasarkan Eropah, ia mungkin tidak akan berlaku pada tahun ini.

The International tahun ini akan menawarkan hadiah terkumpul sebanyak $40,018,195 (~RM165 juta).

Sohor Kini