Musim ketiga untuk Call of Duty: Black Ops Cold War dan Warzone telah bermula sejak 23 April lepas, dan akan berakhir minggu ini untuk memberi ruang kepada musim keempat yang akan bermula pada 17 Jun ini. Melaluinya seperti biasa ia akan menyertakan perubahan peta, operator dan juga acara baharu.
Musim keempat akan bermula dengan acara terhad baharu iaitu Ground Fall yang memerlukan pemain untuk mencari satelit yang terjatuh. Menyelesaikan pelbagai objektif berkait dengannya akan memberikan pemain pelbagai ganjaran. Ini juga akan memberi kawasan baharu untuk peta Warzone iaitu tempat terjatuhnya satelit.
Tiga operator baharu akan disertakan iaitu Jackal, Salah, dan Weaver. Jackal akan diberikan kepada semua pemain yang mendapatkan Battle Pass, manakala Salah dan Weaver akan disertakan kemudian dan boleh didapati melalui berkas khusus.
Senjata baharu juga akan disertakan seperti C58, MG 82, Nail Gun, OTS 9 dan Mace. Bagi Cold War, 4 peta baharu juga akan disertakan iaitu Collateral, Hijacked, Amstredan dan juga Rush bersama dengan mod baharu iaitu One in the Chamber, Multi-team: Sat-Link dan Capture the Flag.
Bagi mod zombi untuk Cold War, kawasan baharu disertakan iaitu Zoo bersama dengan misi dan juga peta baharu iaitu Mauer der Toten yang akan tiba pada pertengahan musim ini.
Call of Duty Black Ops Cold War dan Call of Duty Warzone sudah dikeluarkan untuk PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series dan PC. Warzone boleh dimuat turun secara percuma dan menyertakan pembelian di dalam aplikasi.