E3 telah memasuki hari kedua, dan persidangan paling dinantikan pada hari ini sudah semestinya adalah persidangan sulung untuk Xbox bersama dengan Bethesda selepas Microsoft mengambil alih mereka secara rasmi pada bulan Mac lepas.

Semasa persidangan ini, mereka telah mengumumkan hampir 30 permainan dan mereka menegaskan yang 27 daripada permainan tersebut ditawarkan atau akan ditawarkan di dalam Xbox Game Pass. Berikut adalah secara ringkas segala pengumuman yang dilakukan;

Starfield

Bethesda Softworks | Xbox Series, PC | 11 November 2022

Diumumkan pertama kali pada persidangan Bethesda di E3 tahun 2018, Starfield akhirnya menerima tarikh pelancaran iaitu 11 November 2022. Menurut Bethesda, Starfield boleh dikatakan sebagai permainan The Elder Scrolls Skyrim tetapi memfokuskan kepada angkasa lepas.

Bacaan Lanjut: Starfield Akan Dikeluarkan Pada 11 November 2022 Secara Eksklusif Untuk Platform Microsoft

S.T.A.L.K.E.R 2 Heart of Chernobyl

GSC Game World | Xbox Series, PC | 28 April 2022

Pembangunan untuk S.T.A.L.K.E.R 2 bermula pada tahun 2010 lagi, iaitu setahun selepas permainan terakhir S.T.A.L.K.E.R Call of Pripyat. Selepas beberapa kali dibatalkan dan tertanggun, permainan ini hanya akan tiba pada 28 April tahun hadapan.

Bacaan Lanjut: Stalker 2: Heart of Chernobyl Akan Tiba 28 April 2022 Untuk Xbox Series Dan PC

Back 4 Blood

Turtle Rock Studio | PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series , PC | 12 Oktober 2021

Dibangunkan oleh bekas pembangun untuk permainan asal Left 4 Dead, Back 4 Blood sudah semestinya diharapkan dapat memenuhi kerinduan pemain untuk bermain secara koperasi melawan zombi. Microsoft juga telah mengumumkan yang Back 4 Blood akan disertakan di Xbox Game Pass pada hari pelancaran.

Bacaan Lanjut: Back 4 Blood Menyertai Xbox Game Pass Pada Hari Pelancaran, Menyertakan Mod PvP

Contraband

Avalanche Studios | Xbox Series, PC | Tidak Diumumkan

Contraband adalah permainan yang memfokuskan kepada sesi permainan koperasi untuk melakukan rompakan dan juga menyeludup, ia dibangunkan oleh pembangun Just Cause iaitu Avalanche Studios. Maklumat untuk permainan ini masih sedikit, tetapi mereka ada mengatakan yang ia akan menawarkan sesi permainan dunia terbuka.

Sea of Thieves: A Pirate’s Life

Rare Limited | Xbox One, Xbox Series, PC | 22 Jun 2021

Apabila pemain mula bermain Sea of Thieves, sudah semestinya ramai yang ingin menjadi lanun kegemaran ramai Captain Jack Sparrow. Melalui penambahan baharu iaitu A Pirate’s Life, pemain kini boleh melakukan misi bersama dengan lanun tersebut.

Bacaan Lanjut: Sea of Thieves Menerima Kandungan Berdasarkan Pirates of Caribbean

Koleksi Permainan Yakuza Di Xbox Game Pass

Ryu Ga Gotoku Studio | Xbox One, Xbox Series, PC | Hari Ini

Microsoft telah mengumumkan satu lagi permainan Yakuza akan disertakan di dalam Xbox Game Pass iaitu Yakuza: Like a Dragon, permainan terbaru bagi siri ini. Ini menjadikan kesemua permainan Yakuza kini boleh dimainkan oleh pelanggan Xbox Game Pass.

Bacaan Lanjut: Yakuza Like A Dragon, Hades, Psyconauts 2 Antara Diumumkan Akan Tiba Untuk Xbox Game Pass Tahun Ini

Battlefield 2042

EA | PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series , PC | 22 Oktober 2021

Selepas diumumkan sebelum ini, EA akhirnya memperlihatkan bentuk permainan untuk Battlefield 2042 dan seperti dijangkakan segalanya adalah kacau bilau, sesuatu yang telah menjadi “tanda dagang” untuk siri permainan ini. Terutama ia menyertakan sehingga 128 pemain serentak, ditambah lagi bencana alam.

Twelve Minute

Annapurna Interactive | Xbox One, Xbox Series, PC | 19 Ogos 2021

Tarikan utama permain ini sudah semestinya nama-nama pelakon suara iaitu James Mcavoy, Daisy Ridley dan juga Willem Dafoe, akan tetapi ia juga membawa satu premis yang menarik di mana seorang suami tersangkut di dalam satu gelung masa selama 12 minit dan perlu menyiasat mengenai tuduhan terhadap isterinya.

Psychonauts 2

Double Fine | PS4, PS5, Xbox One, Xbox Series, PC | 25 Ogos 2021

Selepas 16 tahun, pemain akhirnya dapat mencuba permainan susulan untuk Psychonauts melalui permainan kedua ini. Ia adalah permainan yang hampir dibatalkan akan tetapi dihidupkan semula selepas Microsoft mengambil alih Double Fine.

Fallout 76

Bethesda | PS4, Xbox One, Xbox Series, PC | 7 Julai 2021

Fallout 76 akan menerima penambahan terbaru iaitu Steel Reign yang akan menjadi penutup untuk penceritaan mengenai Brotherhood. Ia adalah penambahan percuma yang juga menyertakan kawasan dan peralatan baharu. Mereka juga mengumumkan penambahan The Pitt akan tiba tahun depan.

Party Animals

Recreate Games | Xbox One, Xbox Series, PC | 2022

Permainan “fizik” adalah satu genre yang masih lagi popular kerana akan membawa sesi permainan yang rawak dan melucukan. Party Animals juga memfokuskan untuk membawa pengalaman yang sama. Pemain boleh memilih untuk menjadi pelbagai watak binatang untuk bertempur dengan pemain-pemain lain.

Hades

Supergiant Games | PS4, PS5, Xbox One, Xbox Series, Switch, PC | 13 Ogos 2021

Selepas dikeluarkan untuk Switch dan PC sebelum ini, permainan Roguelite Hades akhirnya akan tiba untuk konsol lain pada 13 Ogos ini. Bagi pelanggan Xbox Game Pass, ia juga akan disertakan di dalam perkhidmatan tersebut apabila dilancarkan kelak.

Bacaan Lanjut: Hades Diumumkan Untuk PlayStation Dan Xbox, Private Division Akan Menawarkan Versi Fizikal Untuk PlayStation Di Malaysia

Somerville

Jumpship | Xbox One, Xbox Series, PC | 2022

Permainan sulung oleh Jumpship iaitu studio yang ditubuhkan oleh bekas pengasas bersama Playdead. Somerville membawa bentuk permainan seakan dua permainan Playdead iaitu Limbo dan juga Inside. Ia tampaknya memfokuskan kepada keluarga dan serangan alien (?).

Halo Infinite

343 Industries | Xbox One, Xbox Series, PC | 2021

Selepas ditunda daripada menjadi permainan pelancaran konsol untuk Xbox Series, Halo Infinite masih lagi tidak mempunyai sebarang tarikh yang tetap, namun Microsoft sahkan ia akan tiba pada akhir tahun ini. Bagi perkongsian kali ini, mereka memfokuskan kepada mod multi-pemain yang akan tiba secara percuma.

Bacaan Lanjut: Halo Infinite Tiba Akhir Tahun Ini, Treler Multi-Pemain Dikongsi

Diablo II: Resurrected

Blizzard | PS4, PS5, Xbox One, Xbox Series, Switch, PC | 23 September 2021

Blizzard akhirnya berkongsi tarikh pelancaran untuk Diablo II: Resurrected iaitu pada 23 September 2021 untuk semua platform. Semasa pemain masih menantikan Diablo IV, permainan penambah-baikkan ini sudah semestinya boleh menjadi pengisi terlebih dahulu.

A Plague Tale Requiem

Asobo Studio | Xbox One, Xbox Series, PC | 2022

Selepas menjayakan permainan baharu untuk Microsoft Flight Simulator, Asobo Studio tampaknya kembali untuk membawa semula permainan A Plague Tale. Permainan ini akan terus membawa penceritaan untuk Amicia dan Hugo, melawan wabak dan juga misteri.

Slime Rancher 2

Monomi Park | Xbox One, Xbox Series, PC | 2022

Beatrix LeBeau kembali lagi untuk menternak Slime melalui permainan kedua bagi Slime Rancher. Permainan pertama yang dikeluarkan pada tahun 2017 boleh dikatakan telah mendapat penerimaan yang baik terutama peminat permainan yang kasual. Ia akan tiba secara eksklusif buat sementara waktu untuk platform Microsoft.

Shredders

FoamPunch | Xbox Series, PC | Disember 2021

Shredders adalah permainan meluncur salji yang dibangunkan oleh I-Illusions bersama dengan Let It Roll. Ia diterbitkan oleh FoamPunch. Buat masa ini maklumat mengenainya masih tidak banyak, terutama mod-mod yang akan disertakan akan tetapi yang pasti anda boleh bermain salji akhir tahun ini.

Atomic Heart

Mundfish | PS4, PS5, Xbox One, Xbox Series, PC | Tidak Diumumkan

Atomic Heart berlaku pada tahun 1955 di dunia alternatif bawah pemerintahan kesatuan soviet. Walaupun berada di tahun yang lepas, akan tetapi tampaknya ia telah mempunyai pelbagai teknologi. Ia adalah permainan menembak first person dan tampak sangat unik.

Replaced

Sad Cat Studio | Xbox One, Xbox Series, PC | 2022

Boleh dikatakan sebagai antara permainan paling menarik yang diperlihatkan semasa persidangan ini, Replaced membawa rekaan grafik yang sangat menarik dan ia juga memperlihatkan penceritaan yang mendalam. Ia adalah permainan platform yang membawa tema fiksyen sains retro.

Bacaan Lanjut: Replaced Ialah Permainan Platformer Yang Berdasarkan Realiti Alternatif Pasca Ujian Nuklear Trinity

Grounded – The Shroom & Doom

Obsidian Entertainment | Xbox One, Xbox Series, PC | 30 Jun 2021

Grounded sudah dikeluarakn sejak tahun lepas lagi sebagai permaianan akses awal, ia adalah permainan ketahan hidup yang terus menjadi tarikan untuk peminat genre ini. Obsidian telah mengumumkan penambahan terbaru untuknya iaitu The Shroom & Doom yang akan tiba pada 30 Jun ini.

Eiyuden Chronicle: Hundred Heroes

Rabbit & Bear | PS4, PS5, Xbox One, Xbox Series, PC | 2023

Eiyuden Chronicle: Hundred Heroes adalah permainan JRPG yang dibangunkan oleh bekas pembangun Suikoden, ia menawarkan kualiti grafik yang unik. Semasa pengumuman ini, mereka tampaknya telah tunda pelancaran ke tahun 2023 berbanding akhir 2022, tetapi menawarkan permainan sampingan iaitu Eiyuden Chronicle: Rising yang akan tiba pada tahun depan, ia dikatakan adalah permainan aksi RPG pembinaan bandar.

The Outer Worlds 2

Obsidian Entertainment | ???

Salah satu permainan yang paling menarik perhatian, akan tetapi ia juga permainan yang tidak banyak berkongsi apa-apa maklumat selain rekaan logo untuknya. Namun sekurang-kurangnya mereka jujur dengan perkara tersebut. Melalui perkongsian tambahan, permainan ini dikatakan akan membawa krew baharu.

Bacaan Lanjut: Video Acah The Outer Worlds 2 Mengatakan Hanya Tajuknya Yang Disahkan Buat Masa Ini

Microsoft Flight Simulator

Asobo Studio | Xbox Series | 27 Julai

Permainan simulasi memandu kapal terbang oleh Microsoft ini akhirnya akan dikeluarkan untuk konsol iaitu buat Xbox Series X dan juga Xbox Series S. Ia akan tiba pada 27 Julai ini dan juga disertakan di dalam Xbox Game Pass. Selain itu, mereka juga mengumumkan yang ia akan menerima kandungan berdasarkan filem Top Gun: Maverick.

Bacaan Lanjut: Microsoft Flight Simulator Akan Tiba Di Xbox Series X Dan Series S Pada 27 Julai Ini

Forza Horizon 5

Playground Games | Xbox One, Xbox Series, PC | 9 November 2021

Playground Games akhirnya mengumumkan permainan Forza Horizon baharu yang kali ini benar-benar untuk konsol generasi terkini. Forza Horizon 5 akan membawa pemain ke negara Mexico, di mana ia menawarkan rekaan persekitaran yang paling realistik pada pemerhatian saya.

Bacaan Lanjut: Forza Horizon 5 Akan Tiba Pada 9 November 2021 Untuk Xbox Dan PC

Redfall

Arkane Studios | Xbox Series, PC | 2022

Selepas diambil alih oleh Microsoft, melalui Bethesda, permainan seterusnya Arkane Studios adalah esklusif untuk PlayStation 5, namun kini mereka juga telah mengumukan permainan esklusif untuk platform Microsoft iaitu Redfall. Ia adalah permainan koperasi dunia terbuka secara first person.

Peti Sejuk Xbox

Ia bukanlah satu permainan video, akan tetapi Microsoft telah menjadikan satu ejekan ataupun meme sebagai perkara nyata apabila akan menawarkan Peti Sejuk Mini yang mempunyai rekaan Xbox Series S pada hujung tahun ini.

Bacaan Lanjut: Microsoft Akan Melancarkan Peti Sejuk Xbox Pada Hujung Tahun Ini


Selain permainan-permainan yang kami kongsikan di atas, terdapat beberapa lagi permainan yang turut diperlihatkan akan tetapi oleh kerana ia sudah diumumkan sebelum ini, kami sekadar seneraikannya di sini;

  • Doom Eternal untuk konsol generasi terkini, Xbox Series dan PS5 akan tiba pada 29 Jun 2021,
  • Far Cry 6 yang akan dikeluarkan pada 7 Oktober 2021,
  • Among Us yang akan dikeluarkan untuk konso sekitar tahun ini,
  • The Ascent akan tiba pada 29 Julai 2021, dan
  • Age of Empires IV akan tiba pada 28 Oktober 2021

Seperti kami katakan di atas, daripada kesemua permainan ini, hanya Battlefield 2042, Far Cry 6, Diablo II dan Eiyuden Chronicle tidak akan disertakan di dalam Xbox Game Pass.

Sohor Kini