Microsoft dan Xbox hari ini telah berkongsi mengenai fokus mereka di dalam industri permainan video, menurut CEO Microsoft, mereka sepenuhnya akan terlibat di dalam industri bernilai bilion ringgit ini. Anda boleh tonton video penuh di bawah, tetapi kami akan senaraikan perkara menarik yang dinyatakan di bawah.

Kejayaan Xbox Game Pass

Xbox telah mengatakan yang Xbox Game Pass telah membantu untuk memperkenalkan pelbagai permainan kepada pemain. Antara yang dinyatakan adalah pelanggan Xbox Game Pass mencuba 30% lebih banyak genre dan bermain 40% lebih banyak permainan berbanding bukan pelanggan. Mereka juga mengatakan yang 90% pelanggan Xbox Game Pass bermain permainan yang mereka tidak akan cuba jika tidak disertakan di dalam Xbox Game Pass.

Bagi penerbit permainan pula, permainan yang disertakan di dalam Xbox Game Pass memperlihatkan peningkatan minat dari pemain sebanyak 8 kali ganda berbanding sebelum memasuki perkhidmatan tersebut. Contohnya adalah apabila EA Play ditawarkan bersama Xbox Game Pass, ia memperlihatkan peningkatan jumlah sesi permainan sebanyak 200% di platform Microsoft (PC dan Xbox).

Outriders iaitu permainan Aksi RPG oleh Square Enix yang ditawarkan di dalam Xbox Game Pass semasa pelancaran masih menjadi permainan paling laris secara digital pada minggu pelancaran dan merupakan 10 tertinggi sepanjang bulan April. MLB: The Show 21 yang pertama kali ditawarkan untuk Xbox juga menjadi permainan sukan terlaris untuk bulan April.

Perancangan Seterusnya Untuk Xbox Game Pass

Selain berkongsi mengenai kejayaan perkhidmatan tersebut, Xbox juga telah berkongsi perancangan mereka. Antaranya adalah mereka sedang berkerjasama dengan pengeluar TV untuk menyertakan pengalaman Xbox secara terus di dalam TV tanpa memerlukan konsol sebaliknya hanya perlukan alat kawalan sahaja.

Mereka juga sedang mengkaji pakej langganan baharu untuk Xbox Game Pass agar ia menjadi lebih berpatutan bergantung kepada geografi dan juga kos kehidupan negara tersebut. Xbox juga akan bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi untuk menawarkan pakej pembelian Xbox. Mereka juga sedang membangunkan perkakas penstriman tersendiri untuk xCloud agar pemain tidak perlu memiliki konsol untuk menggunakan perkhidmatan tersebut.

Dalam masa beberapa minggu lagi, mereka juga akan menyertakan sokongan xCloud untuk pelayar-pelayar web utama seperti Edge, Chrome dan juga Safari dan mereka juga sedang mengemaskini perkakas di pusat data mereka agar dapat bermain sebarang permainan dengan pengalaman generasi terkini seperti yang dicapai oleh Xbox Series X dan Xbox Series S.

Xbox Game Studios

Bercakap mengenai Xbox Game Studios pula, mereka menyasarkan untuk melancarkan satu permainan parti pertama ke Xbox Game Pass setiap suku ataupun setiap tiga bulan. Mereka juga mungkin akan melihat untuk melakukan lebih banyak pengambil-alihan studio permainan untuk memastikan sasaran tersebut tercapai.

Maklumat lanjut mengenai permainan-permainan yang akan ditawarkan oleh mereka akan diumumkan secara lanjut semasa persidangan Xbox & Bethesda Showcase pada 14 April 2021.

Sohor Kini