EA akhirnya mengumumkan permainan seterusnya untuk siri Battlefield iaitu Battlefield 2042 yang akan dilancarkan pada 22 Oktober ini untuk PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series dan PC. Buat masa ini bentuk permainan tidak diperlihatkan lagi, ia akan tiba pada 14 Jun 2021, berkemungkinan semasa persidangan Xbox dan Bethesda.

Namun, antara yang dikongsi oleh EA adalah mod Conquest dan Breakthrough kini menyokong sehingga 128 pemain untuk konsol generasi terkini dan PC, manakala untuk PS4 dan Xbox One sehingga 64 pemain. Ia juga dikatakan akan menyokong cuaca yang dinamik, persekitaran yang berbeza dan pelbagai kejadian seperti bencana alam akan berlaku.

Selain itu, mereka juga mengumumkan mod Hazard Zone yang dikatakan membawa pengalaman berlainan berbanding Conquest dan Breakthrough. Mod-mod lain akan diumumkan kemudian dan mereka juga mengatakan buat masa ini tiada mod Battle Royale akan disertakan.

Battlefield 2042 boleh mula dicuba oleh pelanggan EA Play pada 15 Oktober dan juga akses awal untuk Beta Terbuka bersama dengan pemain-pemain yang pra-tempah. Sesi beta terbuka akan diumumkan kemudian. Ia ditawarkan dengan harga RM249, RM409 untuk Gold Edition dan RM499 untuk Ultimate Edition.

Berdasarkan kenyataan media oleh EA, harga untuk PS4 dan PS5 berbeza akan tetapi berdasarkan penyenaraian di PS Store ia ditawarkan dengan harga yang sama. Ia juga tidak akan menawarkan naik taraf percuma, sebaliknya perlu mendapatkan Gold Edition dan Ultimate Edition untuk mendapat permainan ini di kedua-dua generasi konsol.

Sohor Kini