Dwayne “The Rock” Johnson nampaknya sejak kebelakangan ini begitu sibuk dengan pelbagai projek daripada Warner Bros. Lebih-lebih lagi kepada projek-projek khusus di bawah DC, seperti Black Adam. Dwayne bukan sahaja sibuk sebagai pelakon, malah studio milik beliau iaitu Seven Bucks Production juga bertanggungjawab untuk banyak siri dan filem.

Terkini, beliau mengumumkan yang Seven Bucks Production akan hadir dengan filem animasi DC baharu – League Of Super-Pets. Ia adalah projek animasi 3D baharu daripada Warner Animation Group dan DC Films yang mengisahkan watak-watak haiwan seperti Krypto – anjing si Superman, Ace the Bat-Hound – anjing Batman, Jumpa – kanggaru Wonder Woman dan juga Streaky the Supercat – kucing si Supergirl.

Ia adalah siri animasi adiwira untuk kanak-kanak dan keluarga. The Rock akan menjadi suara kepada Krypto dan Kevin Hart pula akan menjadi pelakon suara untuk Ace the Bat-Hound. Selain daripada itu Kate McKinnon, John Krasinski, Vanessa Bayer, Natasha Lyonne, Diego Luna dan juga Keanu Reeves akan turut serta sebagai pelakon suara untuk watak-watak lain.

Sinopsis penuh dan video acah masih belum dikongsi, tetapi filem animasi ini dijadualkan akan ditayangkan pada 20 Mei 2022 akan datang.

Sohor Kini