Panic Inc hari ini telah berkongsi lanjut mengenai konsol mereka iaitu PlayDate, seperti kami laporkan sebelum ini ia adalah konsol yang akan mempunyai permainan tersendiri dan akan menyertakan engkol sebagai alat kawalan yang unik. Ia juga merupakan konsol yang dipasang di Malaysia.

Melalui perkongsian terbaru yang anda boleh tonton di bawah, mereka menyatakan yang penghasilan konsol ini telah mengalami kesukaran kerana pandemik Covid-19, namun mereka telah mengumumkan yang sesi pra-tempahan untuk PlayDate akan bermula pada bulan depan, mereka akan mengumumkan tarikh seminggu sebelum ia bermula.

Seperti mereka katakan sebelum ini, pra-tempahan tidak akan mempunyai had dan tiada konsep “habis terjual” akan tetapi setiap pra-tempahan akan mempunyai tarikh penghantaran yang berlainan. Mereka tidak mengumumkan tarikh paling awal untuknya.

Ia akan ditawarkan dengan harga $179 (~RM737) iaitu lebih mahal berbanding pengumuman sebelum ini iaitu $149, namun mereka mengatakan yang akan melancarkan lebih banyak permainan iaitu 24 permainan berbanding 12 sebelum ini. 24 permainan ini akan disertakan secara berperingkat iaitu sepanjang 12 minggu selepas pelancaran untuk “musim pertama”.

Selain itu mereka juga telah mengumumkan perkakasan baharu iaitu PlayDate Stereo Dock, di mana apabila konsol PlayDate di letakkan, secara magnet, ia akan cas konsol tersebut. Selain itu, seperti namanya Stereo, ia juga mempunyai speaker yang boleh memainkan lagu daripada aplikasi yang terbina di dalam PlayDate. Ia akan dijual secara berasingan dan buat masa ini masih tidak mempunyai harga.

Sohor Kini