Fornite Musim Ke-7 untuk Chapter 2 dijadualkan akan bermula pada petang ini sehingga 12 September 2021, dan mereka telah memperlihatkan penawaran baharu untuk musim ini melalui treler Battle Pass yang anda boleh tonton di bawah. Ia menyertakan pelbagai kostum seperti Superman, Rick dari siri popular Rick & Morty dan juga Kymera.

Bagi musim ini, Battle Pass sedikit berbeza dengan biasa, di mana setiap kali pemain bermain ataupun menyelesaikan cabaran pemain akan mendapat Star. Star tersebut boleh digunakan untuk menebus barangan daripada Battle Pass. Ia akan dibahagikan kepada beberapa bahagian, dan bahagian seterusnya akan dibuka apabila mencapai tahap tertentu. Oleh itu, anda boleh menggunakan Star untuk mendapatkan barangan di mana-mana bahagian ataupun menyimpannya untuk digunakan di bahagian lain.

Pemilik Battle Pass juga akan terus mendapat Kymera iaitu kostum yang boleh diubah dengan pelbagai kombinasi bentuk kepala, mata, warna kulit, corak dan juga warna perisai. Menurut Epic Games, ia membawa 800 ribu kombinasi berbeza. Jika anda tidak mempunyai Battle Pass, anda masih boleh mendapatkan Star dan menebus ganjaran-ganjaran yang dibuka untuk bukan pemilik.

Buat masa ini cara untuk mendapatkan kostum Rick dan Superman tidak dikongsikan lagi, ia mungkin akan disertakan sebagai cabaran untuk pemilik Battle Pass di masa hadapan. Fortnite sudah dilancarkan untuk PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series, Switch, PC dan Android. Ia adalah permainan percuma dan menyertakan pembelian di dalam aplikasi.

Sohor Kini