Skip to main content

Ratchet & Clank: Rift Apart adalah satu lagi permainan oleh PlayStation Studios yang ingin memperlihatkan kualiti permainan yang akan tiba untuk PlayStation 5. Seperti permainan-permainan lain sebelum ini, termasuk juga oleh Insomniac Games sendiri iaitu Spider-man: Miles Morales, ia membuatkan saya teruja dengan penawaran konsol generasi terkini ini akan tetapi merasakan permainan masih tidak mencapai apa yang saya inginkan. Begitu juga untuk Ratchet & Clank: Rift Apart.

Walaupun begitu, Rift Apart adalah satu permainan yang sangat baik, penantian 5 tahun untuk kembali ke penceritaan lombax kegemaran ramai ini adalah satu penantian yang berbaloi. Ia membawa permainan yang menyeronokkan dan sepanjang saya bermain saya mempunyai masa yang baik. Perkara utama yang menjadikan Rift Apart satu permainan yang berkualiti adalah penceritaan, rekaan dunia, sistem pertempuran, dan juga kualiti grafik.

Ratchet Dan Rivet

Penceritaan di dalam Rift Apart berlaku selepas kejadian di dalam Ratchet & Clank yang dikeluarkan pada tahun 2016, anda tidak perlu bermain permainan tersebut untuk menghayati penceritaan di dalam permainan ini, akan tetapi ia digalakkan terutama jika anda memilikinya.

Metropolis menganjurkan satu perayaan untuk menyambut Ratchet dan juga Clank sebagai Hero untuk bandar tersebut, pada masa sama Clank juga mempunyai hadiah untuk Ratchet iaitu “The Dimensionator”, ia adalah alat yang boleh menghasilkan portal untuk ke dimensi lain. Clank mengatakan yang dia berharap dengan adanya alat tersebut, Ratchet akhirnya dapat mencari lombax-lombax lain yang mungkin berada di dimensi lain.

Ratchet mempunyai sedikit keraguan mengenai perkara tersebut akan tetapi belum sempat mereka berbincang, Doctor Nefarious telah mencuri The Dimensionator dan membuka pelbagai dimensi untuk memporak-perandakan Metropolis. Untuk menghentikan Nefarious, Ratchet menembak The Dimensionator dan mengakibatkan pembukaan dimensi yang tidak stabil.

Namun, sebelum Ratchet sempat menghalang Nefarious, dia telah membuka satu dimensi yang membawa dirinya dan juga Ratchet serta Clank ke dimensi lain di bandar Nefarious City. Di dalam dimensi ini, Nefarious adalah seorang yang ditakuti berbeza dengan keadaan di Metropolis, di mana Nefarious sering menemui kegagalan. Selepas The Dimensionator meletup, Ratchet terpisah dengan Clank, di mana Clank berjumpa dengan Rivet iaitu seekor lombax di dimensi tersebut.

Maka bermulalah pengembaraan Ratchet, Clank dan juga Rivet bukan sahaja untuk melawan Nefarious akan tetapi juga memulihkan keadaan dimensi yang makin lama menjadi makin teruk. Penceritaan yang disertakan adalah ringkas dan mudah dijangka akan tetapi saya masih lagi sangat menyukainya. Setiap bahagian disampaikan dengan baik, setiap cabang dikembangkan dengan menarik.

Ini dibantu lagi dengan perwatakan yang baik, sesuatu yang kita sudah jangka daripada Ratchet dan Clank tetapi termasuk juga Rivet dan juga seorang yang akan menjadi rakan kepada Rivet sepertimana Clank kepada Ratchet, ia adalah robot seperti Clank dan perhubungan di antara keempat-keempat watak tersebut benar-benar menjadikan keseluruhan penceritaan lebih mencuit dan menyentuh hati. Saya sangat menyukai keempat-empat watak utama dan berharap permainan seterusnya akan terus mengekalkan mereka.

Di dalam usaha Ratchet, Clank dan Rivet untuk memulihkan keadaan bercelaru dimensi tersebut, mereka perlu pergi ke pelbagai planet berlainan dan setiap planet direka dengan keunikan tersendiri. Ada kawasan bandar yang dipenuhi dengan pelbagai bangunan tinggi serta teknologi-teknologi berbeza. Terdapat juga kawasan hutan yang dipenuhi dengan pelbagai flora dan fauna ataupun kawasan padang pasir. Perbezaan rekaan untuk setiap planet ini menjadikan setiap peringkat sangat unit walaupun secara amnya ia masih lagi satu permainan yang linear.

Seperkara yang menarik lagi, sesetengah tempat juga pemain boleh mengakses dimensi lain untuk tempat tersebut. Ini akan membantu pemain untuk mengakses kawasan yang tidak boleh diakses di dimensi asal. Ia juga akan mengubah keseluruhan tempat tersebut dengan rekaan yang sedikit berbeza dan memberi cara pergerakan yang berlainan. Bagi saya ketelitian rekaan untuk setiap tempat ini harus dipuji dan saya sangat berharap lebih banyak planet ataupun tempat akan disertakan di masa hadapan sebagai DLC ataupun penambahan percuma.

Banyak Senjata, Semua Berguna

Perkara seterusnya yang benar-benar membuatkan saya mempunyai masa yang sangat baik dengan Rift Apart adalah sistem pertempuran di dalam permainan ini, terutama kepelbagaian senjata yang diberikan. Pemain boleh melakukan serangan melee menggunakan sepana ataupun tukul untuk Rivet, akan tetapi menggunakan senjata dan juga bom adalah kegemaran saya. Terdapat hampir 20 senjata yang Ratchet dan Rivet boleh dapatkan (beli) sepanjang bermain dan kesemua senjata ini berguna.

Kebiasaan permainan akan menyertakan pelbagai senjata berbeza untuk membolehkan pemain memilih gaya permainan yang diinginkan, akan tetapi di dalam Rift Apart ia tidak terlalu memfokuskan kepada senjata terbaik untuk keadaan tertentu sebaliknya ia menggalakkan saya untuk terus menukar-menukar senjata tidak kira apa pun situasi dan perkara ini membuatkan tiada senjata terasa tidak berguna.

Dua sebab utama mengapa saya akan bertukar-tukar senjata sekerap yang mungkin adalah jumlah peluru yang terhad, walaupun senjata yang dipertingkatkan tahap ke maksimum, jumlah peluru masih tidak mencukupi untuk menjadi satu-satunya yang digunakan. Saya boleh menghancurkan pelbagai kotak untuk peluru akan tetapi kerana ia adalah jarang dan peluru juga diberikan secara rawak, permainan masih lagi memaksa saya untuk menggunakan senjata lain.

Sebab kedua adalah senjata akan meningkat tahap berdasarkan kegunaan, oleh itu jika anda jarang guna sesuatu senjata ia tidak boleh dipertingkatkan tahap lagi. Ini akan memberi kesan jika saya terlalu fokus kepada satu dua senjata sahaja, apabila senjata tersebut kehabisan peluru saya terpaksa menggunakan senjata yang tahap rendah dan kurang berkuasa. Disebabkan dua sebab ini, saya sering menukar-menukar senjata dan oleh kerana saya boleh kesemuanya secara serentak, tiada senjata yang ditinggalkan.

Tambahan daripada itu, kepelbagaian rekaan senjata dan serangan yang dilakukan menjadikan setiap pertempuran sangat menarik. Ada senjata yang menembak peluru elektrik yang akan menghentikan semua penjahat yang berdekatan, ada juga yang berfungsi seperti shotgun. Bagi bom pula, ada yang akan mengeluarkan penyembur air, penjahat yang terkena akan ditumbuhi pokok dan menghentikan mereka ataupun bom yang mengeluarkan robot mini yang akan membantu anda.

Eksperimen menggunakan pelbagai kombinasi senjata ini adalah satu lagi perkara yang menyeronokkan akan tetapi ia mungkin lebih baik jika kombo ini memberikan nilai tambah ataupun serangan yang lebih kuat ataupun akan memberi serangan yang lebih berbeza. Ia sudah semestinya akan menjadikan pertempuran lebih menarik tetapi walaupun tanpanya ia masih cukup seronok.

Permainan ini juga mengambil kelebihan yang hadir melalui picu penyesuai di DualSense, kebanyakan senjata akan mempunyai gaya tembakan berlainan mengikut penggunaan picu yang berbeza. Contohnya, bagi shotgun ataupun The Enforcer, pemain boleh menekan separuh R2 untuk menembak melalui satu barrel ataupun tekan sepenuhnya untuk dua barrel. Senjata lain akan mempunyai kegunaan yang berbeza.

Rift Apart menyertakan pelbagai jenis penjahat berbeza tetapi bagi saya ia tidak terlalu banyak untuk benar-benar nampak “meriah” tetapi sekadar mencukupi. Bagi tahap kesukaran, ia mempunyai 5 pilihan berbeza iaitu Rookie Explorer, Rookie Recruit, Rebel Agent, Resistance Leader dan Renegade Legend. Semasa sesi saya bermain, saya menggunakan Rebel Agent dan merasakan ia sedikit mudah terutama apabila mencapai pertengahan permainan dan mempunyai pelbagai senjata berbeza. Oleh itu, jika ingin pengalaman terbaik menggunakan kepelbagaian senjata saya merasakan Resistance Leader adalah tahap kesukaran yang lebih baik berbanding Rebel Agent. Manakala Rookie Explorer sama seperti Rookie Recruit tetapi pemain tidak akan mati.

Ada dua perkara yang sedikit mengecewakan mengenai bentuk permainan, pertama adalah mengenai penggunaan “rift”, permainan ini dikatakan memerlukan spesifikasi PS5 untuk membolehkan pemain memasuki dan keluar daripada rift secara segera, akan tetapi penggunaannya terlalu terhad. Ia hanya boleh digunakan di kawasan tertentu sahaja, di mana terdapat dua jenis Rift iaitu yang berwarna ungu yang membawa pemain ke tempat berbeza (kebiasaannya tempat rahsia) dan rift berwarna kuning yang membolehkan pemain untuk mencapai satu tempat yang jauh dengan lebih mudah dan cepat, selebihnya ia hanya digunakan semasa adegan sahaja.

Saya mengharapkan ia boleh digunakan seperti mana konsep “portal” dan terasa kekurangan apabila ia bukan kegunaannya, selain menjadi perkara utama untuk penceritaan, konsep rift ini tidak membawa sebarang penambahan yang jelas untuk bentuk permainan. Bagi saya ia adalah satu peluang yang tidak dipenuhi kerana berdasarkan judul permainan ini, rift sepatutnya memainkan peranan yang lebih menyeluruh.

Kedua adalah bagaimana Ratchet dan Rivet digunakan di dalam permainan ini, tidak kira peralatan ataupun senjata yang dibeli oleh mana-mana watak, kedua-duanya akan mendapatnya, termasuk juga apabila anda meningkatkan tahap senjata tersebut. Ia menjadikan sesi permainan lebih ringkas, akan tetapi bagi saya ia adalah satu peluang yang juga tidak diambil secara penuh oleh Insomniac Games.

Bagi saya adalah lebih baik jika Ratchet dan Rivet dijadikan dua watak yang lebih berbeza. Ia lebih menarik jika Ratchet boleh menggunakan satu set senjata tertentu, dan Rivet pula satu set senjata yang berlainan. Ini akan menjadikan pertukaran di antara Ratchet dan Rivet lebih bermakna, dan menjadikan sesi permainan lebih menyeronokkan kerana kedua-dua watak akan memberi pengalaman yang berbeza.

Grafik Generasi Baharu

Perkara utama yang menjadi perbezaan untuk permainan di konsol generasi ke-8 dengan konsol generasi ke-9 adalah kualiti grafik yang ditampilkan. Bagi Rift Apart, segalanya nampak sangat cantik. Seperti saya terangkan di atas, kepelbagaian planet dengan kepelbagaian rekaan sangat membantu kualiti permainan ini, dan kualiti grafik yang disertakan juga mengukuhkan lagi perkara tersebut.

Dengan hadirnya Ray Tracing, resolusi tekstur yang tinggi dan pelbagai sentuhan lain seperti VFX membuatkan Rift Apart satu permainan yang sangat menawan. Bagi saya ini adalah satu lagi “persembahan teknologi” untuk PlayStation 5 tetapi pada masa sama memberi pelbagai ruangan untuk lebih memukau di masa hadapan. Rift Apart menawarkan tiga pilihan grafik iaitu Fidelity, Performance RT dan Performance dan perbezaannya adalah seperti berikut;

  • Fidelity: 30FPS, Sokongan Ray Tracing, Resolusi 4K
  • Performance RT: 60FPS, Sokongan Ray Tracing, Resolusi lebih rendah
  • Performance: 60FPS, Tiada Ray Tracing, Resolusi lebih tinggi

Pilihan untuk Performance RT dan Performance disertakan melalui kemaskini tampalan hari pertama, oleh kerana kemaskini ini tiba selepas saya sudah menghabiskan permainan ini, saya sepenuhnya menggunakan mod Fidelity. Namun, saya ada mencuba kedua-dua mod lain akan tetapi untuk bahagian awal permainan sahaja, dan saya boleh katakan perbezaan Fidelity dan Performance RT akan disedari akan tetapi pada pendapat saya Performance RT akan memberi pengalaman yang lebih baik kerana 60FPS menjadikan setiap sesi pertempuran dan juga pergerakan lebih baik.

Agak sukar untuk memperlihatkan secara jelas perbezaan di antara tiga mod ini, terutama mod Fidelity dan Performance RT, ia nampak seperti tidak banyak perbezaan tetapi semasa bermain, agak jelas yang Fidelity membawa kualiti yang lebih baik terutama melalui resolusi 4K (video permainan direkod secara 1080p, satu lagi sebab mengapa sukar untuk memperlihatkan perbezaan). Bagi perbezaan dengan Performance pula lebih jelas di mana anda boleh lihat pantulan di bahagian bawah Rivet di atas, bagi mod Performance ia tidak memperlihatkan sebarang pantulan, walaupun tekstur lebih berkualiti.

Pilihan antara mod ini adalah berdasarkan apa yang diinginkan oleh pemain, namun bagi saya, kelancaran 60FPS adalah lebih penting berbanding kesan-kesan lain. Terutama kerana satu rungutan kecil daripada saya mengenai grafik permainan ini adalah FOV yang terlalu dekat. Saya merasakan kamera yang digunakan berada terlalu dekat dengan Ratchet ataupun Rivet ada masa ia menyusahkan semasa bertempur, saya juga mengambil masa untuk menyesuaikan diri pada awalnya. Perkara ini juga telah memaksa untuk saya melakukan gerakan sudut kamera dengan kerap, oleh kerana itu kadar kelancaran lebih tinggi adalah sangat diperlukan. Anda boleh menukar tetapan pada bila-bila masa sahaja, oleh itu, anda boleh eksperimen dan mencari tetapan yang paling baik untuk anda.

Walau apapun pilihan mod grafik, Rift Apart benar-benar mempunyai kualiti grafik yang sangat baik, selain daripada FOV saya tidak mempunyai sebarang kritikan untuk penyampaian grafik di dalam permainan ini. Saya tidak pernah merasakan sebarang masalah kelancaran, terutama untuk mod Fidelity kecuali apabila membuka peta ataupun menu dan kembali kepada sesi permainan (masalah yang sama dihadapi oleh Returnal). Secara ringkasnya saya boleh katakan ia benar-benar adalah satu grafik generasi baharu.

Permainan Linear, Dengan Pengembaraan Terhad

Secara keseluruhannya Rift Apart seperti mana permainan Ratchet & Clank sebelum ini agak linear, walaupun akan memasuki ke pelbagai planet yang berbeza tetapi pada asasnya anda masih lagi perlu dari A ke B. Ia menyertakan satu dunia yang sederhana besar untuk pemain mengembara, dan boleh mencari pelbagai collectible selain menuju ke destinasi penceritaan.

Namun, ia ada menyertakan pelbagai segmen yang menarik, contohnya Ratchet ataupun Rivet akan meluncur di satu rel dengan pelbagai halangan akan disertakan yang memaksa pemain untuk bergerak dengan cekap. Ratchet dan Rivet juga akan mempunyai pelbagai peralatan untuk mengembara, antaranya kasut meluncur, grapple dan pelbagai lagi. Ia akan membuatkan pengembaraan lebih menarik. Selain itu, rekaan pelbagai peringkat juga dihasilkan dengan baik menambah lagi keseronokan untuk pertempuran.

Antara collectible yang disertakan adalah Golden Bolt yang setiap-nya akan memberikan pelbagai penambahan kepada permainan termasuk juga yang akan memberi kesan kepada sesi permainan. Antaranya adalah penuras untuk mod foto ataupun penuras untuk keseluruhan permainan, terdapat juga yang membolehkan untuk mengubah rekaan tukul dan sepana atau membesarkan serta mengecilkan kepala Ratchet dan Rivet.

Seterusnya adalah Spybots, setiap-nya akan memberikan informasi lanjut mengenai planet di mana Spybots tersebut dijumpai, mengumpul kesemua Spybots juga akan memberikan satu blueprint untuk pemain dapatkan “super weapon”.

Manakala Lorbs pula seperti Spybots, akan tetapi ia memfokuskan kepada sejarah mengenai Lombax, bagi saya ia merupakan collectible paling menarik akan tetapi mengecewakan kerana ia hanya terdapat di satu planet sahaja dan sangat sedikit. Lebih menarik jika terdapat lebih banyak collectible yang berfungsi seperti Lorbs yang menerangkan secara lanjut mengenai penceritaan di dalam dunia Ratchet & Clank.

Raritanium pula collectible yang diperlukan kerana ia akan digunakan untuk mempertingkatkan tahap senjata, ia tidak akan mempunyai jumlah yang mencukupi untuk anda meningkatkan tahap kesemua senjata yang ada, kerana ia hanya boleh dilakukan apabila anda bermain New Game+ ataupun Challenger Mode.

Setiap collectible ini hanya akan dipaparkan di peta apabila saya menghampiri kawasan tersebut, oleh itu digalakkan untuk anda pergi ke pelbagai kawasan walaupun tidak diperlukan melalui penceritaan. Namun, bagi saya, selain daripada Raritanium, collectible lain tidak perlu dikejar dari awal lagi, kerana ada daripadanya yang hanya boleh diakses apabila sudah melepasi bahagian tertentu di dalam penceritaan, ada juga yang tersembunyi sehingga akhir penceritaan. Sebelum pemain memasuki bahagian terakhir, permainan akan memberi peluang untuk pemain mengumpul collectible-collectible ini.

Pemain juga boleh mencari kostum untuk Ratchet dan Rivet (seperti saya nyatakan di atas, mereka berkongsi setiap barangan). Bagi mendapatkannya, ia akan memerlukan pemain untuk memasuki satu kawasan baharu melalui rift berwarna ungu, ia akan menyertakan satu tekaria ringkas yang akan menggunakan pelbagai cara pergerakan untuk Ratchet dan Rivet. Seperti bagaimana mereka menghasilkan kostum untuk Marvel’s Spider-man, kostum-kostum di dalam permainan ini juga sangat cantik dan saya sering tukar sepanjang bermain.

Bahagian ini saya akan menceritakan sedikit beberan (spoiler) mengenai collectible tetapi bukan penceritaan, anda boleh langkau bahagian ini jika tidak ingin mengetahuinya.

Setiap planet akan memperlihatkan jumlah collectible yang terdapat di tempat tersebut, jika anda mempunyai masalah untuk mencarinya, adalah lebih baik beralih dan melakukan misi utama terlebih dahulu. Bahkan pada bahagian menghampiri akhir permainan, jika pemain menjumpai “treasure”, ia akan memperlihatkan kesemua tempat collecitble tersebut berada tampa memerlukan pemain untuk mencarinya terlebih dahulu. Permainan tidak memberitahu mengenai perkara ini, dan ada masa saya mengambil hampir sejam untuk mencari satu collectible kerana ia tidak dipaparkan di mana-mana peta, pada pengakhiran baru saya sedar yang ia hanya boleh diakses melalui penceritaan.

Beberan tamat

Sepanjang sesi permainan juga, terdapat beberapa bahagian di mana pemain akan menggunakan Clank untuk memperbaiki rift yang tidak stabil, ia akan memberikan tekaria yang menarik di mana pemain perlu menggunakan pelbagai jenis bebola yang mempunyai fungsi tersendiri seperti mempercepatkan, memberatkan dan juga menjadi Clank ringan. Ratchet juga boleh menggunakan Glitch iaitu “robot anti-virus” yang pemain boleh gunakan untuk memperbaiki terminal yang rosak, kebiasaannya terminal tersebut diperbaiki untuk mengakses Golden Bolt. Pemain akan mengawal Glitch untuk menembak pelbagai pepijat di dalam sistem. Kedua-dua perkara ini menarik, walaupun sedikit ringkas.

Setiap collectible dan juga aktiviti sampingan ini serba sedikit membantu untuk mengembangkan lagi permainan Rift Apart yang linear, akan tetapi ia tidak mencukupi dan saya merasakan ia masih mempunyai kandungan yang terhad untuk permainan yang berharga “generasi baharu”, yang membawa saya ke bahagian yang seterusnya.

RM299, Adakah Ia Berbaloi?

Agak sukar untuk saya mengatakan sama ada permainan ini berbaloi ataupun tidak dengan harga yang ditawarkan iaitu RM299. Bagi saya ia mempunyai kualiti permainan yang sangat baik dan harus dimainkan oleh semua pemain yang memiliki PlayStation 5. Kualiti penceritaan, serta persembahan lakonan suara, ditambah lagi dengan kualiti grafik yang sangat memukau, menjadikan ia satu permainan yang mempunyai pengalaman yang berbaloi dengan harga tersebut.

Namun, saya juga merasakan permainan yang mengambil masa 15-16 jam sahaja untuk dihabiskan secara sepenuhnya (permainan utama + collectible) ia mungkin sedikit terhad. Terutama bagi pemain yang kebiasaannya bermain sekali sahaja dan tidak berminat dengan konsep New Game+. Ini ditambah lagi dengan beberapa bahagian yang saya merasakan satu peluang yang tidak dipenuhi oleh Insomniac Games seperti yang saya terangkan di atas iaitu penggunaan rift dan juga perbezaan antara Ratchet dan Rivet.

Bagi saya secara peribadi , ia masih adalah permainan yang berbaloi, dan setiap yang meminati siri Ratchet & Clank ataupun genre aksi pengembaraan perlu bermain. Ia mungkin lebih baik jika Insomniac Games mempunyai perancangan untuk menambah lagi kandungan untuknya di masa hadapan terutama melalui DLC dengan harga yang berpatutan. Pembelian permainan ini mungkin terasa berat, akan tetapi selepas menghabiskannya saya yakin anda akan rasa berbaloi.

Penafian: Kod permainan Ratchet & Clank: Rift Apart disediakan oleh SIE untuk tujuan ulasan ini. Ratchet & Clank: Rift Apart akan dikeluarkan untuk PlayStation 5 pada 11 Jun 2021.

Ratchet & Clank: Rift Apart
Harga: RM 299
Ratchet & Clank: Rift Apart adalah satu permainan berkualiti dengan penceritaan baik bersama dengan grafik generasi baharu. Namun, harga mungkin sedikit tinggi untuk sesetengah pemain.
Positif
Penceritaan Yang Ringkas Dan Menarik
Kualiti Grafik Generasi Baharu
Penggunaan Senjata Yang Baik
Negatif
Kandungan Permainan Yang Terhad
Terlepas Peluang Untuk Penggunaan Rift Dan Rivet
8

Leave a Reply

Final Score