Pelbagai pilihan merupakan konsep yang diangkat-angkat untuk sistem kapitalis, kepelbagaian ini akan memberi pilihan kepada pengguna, pada masa sama memastikan setiap penyedia platform ini menawarkan perkhidmatan terbaik dengan harga berpatutan. Ia adalah perkara yang baik kepada pengguna, akan tetapi ia juga membawa satu masalah iaitu pemecahan kandungan kepada pelbagai platform berlainan.

Seorang pelanggan mungkin dapat membayar dua atau tiga platform sahaja setiap bulan, akan tetapi dengan konsep eksklusif yang terus menjadi “bahan pemasaran” utama untuk platform-platform ini, perkara tersebut tidak akan dihentikan dalam masa terdekat. Disney akan terus memfokuskan Disney+ untuk mendapatkan kandungan-kandungan mereka, Warner juga sama akan memfokuskan HBO Go/HBO Max, bagi Netflix pula mereka akan terus melaburkan wang ringgit yang banyak untuk mendapatkan hak-hak eksklusif daripada penerbit-penerbit lain.

Masalah pemecahan kandungan ini tidak menjadi isu yang besar lagi di Malaysia kerana kebanyakan platform utama masih terhad tawarannya di Amerika Syarikat. Namun, dengan Disney+ Hotstar telah dilancarkan rasmi di Malaysia, manakala HBO Max dilaporkan akan tiba tidak lama lagi, ia adalah masalah yang akan menjadi lebih jelas. Persoalannya, adakah kita boleh melakukan sesuatu untuknya?

Tiada Kelebihan Melanggan Setiap Bulan

Jawapannya adalah ada, ia memerlukan satu kesedaran yang sebenarnya tiada kelebihan untuk kita melanggan sesuatu platform secara berterusan setiap bulan. Pembayaran secara automatik setiap bulan adalah senang, akan tetapi ia lebih efektif jika anda menilai setiap bulan untuk melanggan sesuatu perkhidmatan ataupun tidak. Ini akan menjimatkan wang ringgit, dan juga membuka ruang untuk kita melanggan perkhidmatan lain jika mempunyai kandungan yang ditonton.

Ini adalah apa yang saya lakukan, contohnya untuk HBO Go saya hanya tonton siri His Dark Material, apabila musim pertama dan kedua tiba secara penuh saya akan melanggan untuk bulan tersebut, dan tidak melanggan bulan-bulan seterusnya sehinggalah mempunyai kandungan lain yang ingin ditonton. Saya merupakan yang kebiasaan memfokuskan satu siri ataupun filem sahaja pada satu masa, oleh itu saya tidak memerlukan akses kepada semua secara serentak. Namun, ia sedikit bermasalah untuk perkhidmatan seperti Disney+ Hotstar yang hanya menyediakan langganan 3 bulan, tetapi dengan harga RM54.90 ia tidak lah semahal platform utama yang lain.

Persoalan seterusnya, bagaimana ingin membuat pilihan ataupun mencari platform yang menyediakan kandungan kita cari?

Kebiasaannya, setiap platform akan berkongsi kandungan-kandungan yang menarik yang akan tiba setiap bulan, oleh itu kita boleh melihat kepada senarai tersebut . Anda boleh mengetahuinya melalui laman media sosial untuk setiap platform, kami di Aksiz juga ada berkongsi dari semasa ke semasa.

Bagi saya tempat terbaik untuk mencari kandungan yang tersedia adalah melalui perkhidmatan JustWatch.

JustWatch

JustWatch merupakan satu laman yang mengumpulkan senarai kandungan daripada pelbagai platform yang berbeza seperti Netflix, iFlix, Apple TV+, Viu, iTunes Store, Play Store, Prime Video dan yang terbaru Disney+ Hotstar. Menariknya, ia menawarkan kandungan yang juga berdasarkan setempat, contohnya jika anda mencari filem untuk Netflix, ia hanya memperlihatkan kandungan yang terdapat di Netflix Malaysia.

Cara untuk menggunakannya sangat mudah, anda hanya perlu mencari kandungan yang anda inginkan. Anda boleh daftar dan log masuk untuk anda menetapkan platform yang anda guna, jika anda mengikut nasihat saya di atas, anggap sahaja anda menggunakan kesemua platform. Selain itu, dengan log masuk juga anda boleh menjejak sesuatu kandungan untuk melihat jika ia tiba di platform-platform lain.

Namun, fungsi utama yang anda ingin guna adalah mencari platform yang menyediakan Siri TV serta filem yang anda ingin tonton dan fungsi ini tidak memerlukan log masuk, anda juga tidak perlu mendaftar sebarang akaun jika tidak inginkannya.

Contohnya, selepas melanggan Disney+ Hotstar saya ingin tonton kembali kesemua filem MCU, selepas Iron Man saya dapati tiada penawaran The Incredibles Hulk. Oleh itu, saya layari JustWatch dan cari filem tersebut, dan ia akan memperlihatkan yang filem tersebut disediakan di Prime Video dan memerlukan langganan.

Selepas itu, mungkin anda ingin tonton satu lagi filem Marvel tetapi oleh Sony Pictures iaitu Spider-man: Far From Home, berdasarkan JustWatch ia juga berada di platform berlainan iaitu HBO Go. Oleh kerana Spider-man: Far From Home juga ditawarkan di App Store dan Play Store, ia juga tersenarai bersama dengan harga untuk langgan ataupun harga untuk membeli secara terus.

Selepas mendapatkan informasi tersebut anda perlu menentukan sama ada berbaloi untuk langgan sesuatu platform pada bulan ini, untuk tonton filem tersebut. Anda mungkin langgan Prime Video dengan harga RM25 sebulan dan merasakan tidak lagi berbaloi untuk langgan HBO Go dengan RM34.90 sebulan, anda boleh sebaliknya memilih untuk langgan di Apple TV dengna harga RM9.90 ataupun Play Store dengan harga RM12.

Oleh itu bagi saya, masalah pemecahan kandungan kepada pelbagai platform adalah satu masalah, terutama apabila bercakap mengenai siri filem yang di dalam dunia yang sama seperti MCU, akan tetapi ia sesuatu yang sudah tidak dapat dielakkan lagi dan cara terbaik untuk mengurangkan kesan masalah ini adalah menggunakan perkhidmatan seperti JustWatch dan jangan membuka langganan secara automatik.

Jika anda ingin membaca perbandingan kami untuk platform penstriman di Malaysia, anda boleh baca di pautan ini; Perbandingan Platform Penstriman Video Di Malaysia.

Sohor Kini