Take-Two Mengambil Alih Siri Permainan Top Eleven

Jika Football Manager adalah siri permainan simulasi pengurusan bola sepak yang popular di PC serta konsol, Top Eleven boleh dikatakan siri yang paling popular di peranti mudah alih. Hari ini, Take-Two Interactive dilaporkan telah memiliki siri permainan tersebut selepas mengambil-alih Nordeus iaitu penerbit untuk siri tersebut.

Take-Two Interactive iaitu syarikat induk untuk Rockstars dan 2K dikatakan akan membayar tunai $225 juta (RM927 juta) dan boleh meningkatkan sehingga $378 juta (~RM1.5 bilion) jika mencapai prestasi tertentu. Nordeus akan terus beroperasi seperti biasa dan mereka tidak akan menyertai mana-mana studio lain di bawah Take-Two.

Dengan pengambil-alihan ini, Take-Two akan memperkukuhkan lagi portfolio mereka untuk permainan mudah alih. Nordeus akan menyertai Socialpoint dan Playdots bersama dengan 2K Games yang turut menghasilkan permainan mudah alih.

Selain Top Eleven, Nordeus juga mempunyai permainan Heroic iaitu permainan strategi kad. Namun, Top Eleven yang dikatakan mempunyai lebih 240 juta pemain berdaftar sudah semestinya IP utama bagi mereka.

Sohor Kini