Ketua PlayStation Studios, Hermen Hulst melalui temubual yang dikongsi oleh blog rasmi PlayStation telah mengumumkan yang God of War Ragnarok yang sebelum ini diumumkan akan tiba pada tahun ini telah ditunda ke tahun hadapan.

Beliau mengatakan yang dengan keadaan pandemik Covid-19, beberapa bahagian pembangunan menjadi sukar terutama sesuatu yang memerlukan peralatan khusus. Kesukaran untuk mengakses peralatan tersebut dan juga penjadualan pelakon-pelakon yang terlibat memaksa mereka untuk menunda pembangunan.

Hermen Hulst juga mengatakan yang untuk terus menyokong pemain di PlayStation 4, God of War Ragnarok ini akan juga dikeluarkan untuk PlayStation 4. Begitu juga untuk Horizon Forbidden West dan Gran Turismo 7 yang akan turut dikeluarkan untuk PlayStation 4.

Bercakap mengenai Horizon Forbidden West, Hermen Hulst mengatakan permainan tersebut masih dibangunkan dengan sasaran untuk dikeluarkan pada hujung tahun ini akan tetapi ia tidak ditetapkan lagi dan mungkin akan turut tiba pada tahun hadapan.

Sohor Kini