Ubisoft hari ini telah berkongsi lanjut mengenai Far Cry 6 termasuk juga tarikh pelancaran iaitu ia akan tiba pada 7 Oktober 2021 untuk PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series dan PC melalui Epic Games Store dan Ubisoft Store.
Di dalam Far Cry 6, ia memfokuskan kepada negara Yaran yang diperintah oleh diktator Anton Castillo dan juga anaknya Diego, pemain akan mengawal watak Dani Rojas iaitu seorang bekas tentera tetapi menyertai pasukan Guerilla yang ingin menjatuhkan kerajaan Anton Castillo. Menariknya kali ini, pemain boleh memilih jantina Dani Rojas. Di dalam video pengenalan, ia memperlihatkan watak wanita, tetapi pemain juga boleh memilih lelaki.
Mereka juga memperlihatkan pelbagai senjata yang boleh digunakan oleh pemain, selain senjata biasa pemain juga boleh menggunakan senjata yang diubah suai menggunakan barangan biasa seperti tin sardin dan juga pemain cakera padat. Seperti biasa, pemain juga boleh menggunakan pelbagai kenderaan termasuk juga kereta yang diubah-suai mengikut kehendak pemain dan kereta kebal.