Presiden dan juga CEO untuk Sony Interactive Entertainment telah berkongsi lanjut mengenai perancangan mereka bagi tahun fiskal 2021 dan 2022. Selain mengumumkan prestasi terkini dan juga jangkaan untuk PlayStation 5, beliau juga berkongsi mengenai penawaran tambahan oleh mereka, termasuk juga permainan lain oleh mereka yang akan diterbitkan di PC.

Sony juga menjangkakan yang PlayStation 5 Standard Edition yang buat masa ini dijual dengan kerugian akan membuat pulangan modal pada bulan depan, dan akan membuat keuntungan selepas bulan-bulan berikutnya dengan kos menghasilkan konsol akan terus menurun.

Walau bagaimanapun, Sony juga berkongsi yang pada tahun 2020, pendapatan untuk SIE adalah 80% melalui penjualan permainan, langganan perkhidmatan dan juga penjualan perkakas. Konsol hanya menyumbang 20% pendapatan mereka.

Selain daripada itu, mereka juga mengesahkan yang PS5 adalah konsol dengan jualan terbaik untuk tahun pelancaran, iaitu 7.8 juta unit berbanding 7.6 juta unit untuk PS4 dan 3.6 juta unit untuk PS3. Namun, mereka akan terus mempunyai kesukaran untuk memenuhi permintaan kerana kekurangan komponen terutama cip.

Ini mungkin bukan satu masalah yang besar untuk SIE, kerana mereka menjangkakan yang PS4 akan terus menjadi penyumbang utama pendapatan mereka iaitu 70% berbanding 30% sahaja daripada PlayStation 5. Ini tidak mengejutkan kerana PS4 mungkin masih digunakan puluhan juta pemain berbanding PS5 yang baru sahaja mencecah 7.8 juta. Ini ditambah lagi, kebanyakan permainan utama seperti Horizon Forbidden West, Far Cry 6 dan Resident Evil Village juga dikeluarkan untuk PS4.

Sohor Kini