Skip to main content

Presiden dan juga CEO untuk Sony Interactive Entertainment telah berkongsi lanjut mengenai perancangan mereka bagi tahun fiskal 2021 dan 2022. Selain mengumumkan prestasi terkini dan juga jangkaan untuk PlayStation 5, beliau juga berkongsi mengenai penawaran tambahan oleh mereka.

Antara yang dikongsi adalah penawaran permainan mereka di platform yang berbeza iaitu PC. Menariknya, selain memperlihatkan Horizon Zero Dawn dan juga Days Gone yang telah dikeluarkan untuk PC, ia juga memperlihatkan logo permainan Uncharted 4: A Thief’s End, mungkin menjadi petanda yang ia adalah permainan seterusnya yang akan dikeluarkan untuk PC.

Berdasarkan perkongsian itu lagi, Horizon Zero Dawn dikatakan telah mempunyai kadar pulangan pelaburan sebanyak 250% setakat akhir Mac 2021. Ia dilancarkan untuk PC pada bulan Ogos tahun lepas. Pelancaran permainan tersebut di PC juga telah membantu untuk membawa pemain baharu dan juga menyasarkan negara baharu seperti China, Russia dan India.

SIE juga tampaknya akan terus memperluaskan penawaran mereka untuk permainan mudah alih, dengan PlayStation Studios mungkin akan turut mengeluarkan permainan untuk peranti pintar. Selain itu, seperti diumumkan sebelum ini, SIE juga akan menambah kerjasama mereka dengan bahagian di dalam Sony seperti Sony Music dan Sony Pictures melalui PlayStation Production untuk hadir dengan siri TV dan juga filem.

Leave a Reply