Square-Enix nampaknya sedang rancak membangunkan siri permainan Final Fantasy mereka, termasuklah tajuk-tajuk seperti Final Fantasy XVI dan juga Final Fantasy XIV: Endwalker.

Maklumat tambahan mengenai Final Fantasy XVI dikatakan akan diperlihatkan di acara E3 akan datang, manakala Endwalker akan tiba pada 23 November kelak.

Terkini, terdapat ura-ura yang mengatakan bahawa Square-Enix akan memperkenalkan sebuah lagi permainan Final Fantasy baru, yang agak berlainan apabila dibandingkan dengan permainan Final Fantasy yang lain.

Permainan Final Fantasy ini akan menggunakan konsep Dark Souls sebagai mekanik utamanya, walaupun ia dikatakan bahawa ia tidak akan dijadikan begitu sukar untuk membolehkan lebih ramai orang untuk menikmati penceritaan dan corak permainan baru ini.

Permainan Final Fantasy terbaru ini dikatakan adalah berdasarkan permainan Final Fantasy yang pertama, dan keunikannya hadir bukan sahaja dari segi penambahbaikan grafik, tetapi juga penggunaan mekanik yang jauh berbeza dengan sistem JRPG yang kita ketahui sebelum ini.

Dinamakan Final Fantasy Origins, ia dijangka bahawa butiran lanjut mengenai permainan ini akan diperlihatkan oleh Square-Enix bersama-sama dengan Final Fantasy XVI di acara E3 tahun ini.

Sohor Kini