DualSense iaitu alat kawalan lalai untuk PlayStation 5 telah membawa beberapa fungsi baharu yang dikatakan untuk memberi pengalaman “generasi baharu”. Antara fungsi tersebut adalah picu penyesuai dan juga getaran haptik, yang benar-benar telah memberi pengalaman yang berlainan terutama untuk permainan terbitan SIE seperti Returnal.
Sebelum ini, jika pemain ingin merasa kedua-dua fungsi tersebut, pemain perlu memiliki PlayStation 5 namun kini kedua-dua fungsi tersebut tampaknya turut disokong apabila DualSense digunakan di PC. Perkara ini diperlihatkan melalui Metro Exodus Enhanced Edition untuk PC.
Berdasarkan perkongsian oleh VGC, mereka telah memperlihatkan bagaimana permainan tersebut menyokong fungsi picu penyesuai dan juga getaran haptik walaupun di PC. Mereka juga mengatakan yang fungsi tersebut hanya boleh digunakan apabila DualSense disambung menggunakan wayar dan tidak boleh secara tambatan bluetooth.
DualSense dari awal lagi boleh digunakan di PC, akan tetapi ini adalah kali pertama kedua-dua fungsi ini digunakan di dalam permainan. Ini sudah semestinya akan lebih menggalakkan pembangun untuk mengguna pakai kedua-dua fungsi ini kerana ia tidak lagi terhad kepada PlayStation 5 sahaja.
Metro Exodus Enhanced Edition merupakan versi penambah-baikkan yang sudah dikeluarkan untuk PC dan akan tiba pada 18 Jun 2021 untuk PlayStation 5 dan Xbox Series.