Sony Interactive Entertainment telah mengumumkan yang mereka berminat untuk membawa lebih banyak permainan mereka ke platform PC. Bermula dengan Horizon Zero Dawn, permainan seterusnya adalah Days Gone iaitu permainan dunia terbuka oleh Bend Studio dan telah dikeluarkan secara eksklusif untuk PlayStation 4 pada tahun 2019.

Days Gone untuk PC telah dikeluarkan pada 18 Mei 2021 dan anda boleh dapatkannya di Steam, Epic Games Store dan mana-mana gedung permainan PC yang menawarkannya. SIE telah memberi peluang kepada kami untuk mencuba permainan ini lebih awal dan boleh dikatakan ia adalah satu port yang baik dan saya juga berpendapat ia adalah versi terbaik dilancarkan berbanding dengan platform lain.

Di Kebanyakan Bahagian, Masih Days Gone Yang Sama

Saya sudah menghabiskan hampir 20 jam bermain Days Gone di PC, namun ia masih di peringkat awal penceritaan ataupun menghampiri bahagian pertengahan permainan. Namun, berdasarkan apa yang saya alami di dalam permainan setakat ini, saya mempunyai pendapat yang lebih kurang sama dengan ulasan oleh kami sebelum ini untuk versi PlayStation 4.

Oleh itu, di dalam artikel ini saya tidak akan melakukan ulasan penuh ataupun akan memberi skor baharu,sebaliknya akan memfokuskan kepada prestasi permainan ini di PC. Secara ringkasnya, Days Gone memfokuskan kepada watak Deacon St. John di mana selepas terpisah dengan isterinya yang tercedera ketika kecemasan akibat serangan zombi.

2 tahun kemudian, merasakan yang isterinya sudah meninggal dunia, dia bersama dengan Boozer bercadang untuk mengembara ke bahagian utara bagi memulakan kehidupan baharu, akan tetapi Boozer telah diserang oleh sekumpulan penjahat dan Deacon terpaksa melakukan pelbagai kerja untuk menyediakan diri sebelum bergerak dan juga menunggu untuk Boozer kembali pulih.

Sepanjang persediaan tersebutlah juga Deacon mula didedahkan kepada pelbagai konspirasi lain termasuk juga bagaimana berlakunya zombi ini. Ia juga menyentuh pelbagai penceritaan sampingan melibatkan pelbagai watak-watak lain. Secara keseluruhan ia mempunyai penceritaan yang baik akan tetapi cara penyampaian sangat meleret membuatkan saya hilang minat dengan penceritaan sampingan dan juga serba sedikit dengan penceritaan utama. Watak utama iaitu Deacon St. John yang mempunyai personaliti yang tidak menentu juga tidak membantu penyampaian penceritaan.

Bentuk permainan pula, ia mempunyai apa yang menarik dan juga tidak menarik untuk permainan dunia terbuka. Ia menarik kerana permainan ini menyediakan kawasan yang luas untuk diteroka oleh pemain. Terdapat juga pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan oleh pemain serta pelbagai collectible untuk dicari. Ini akan menjadikan permainan ini mengambil masa 50 sehingga 60 jam untuk dihabiskan secara sepenuhnya.

Namun, ia juga mengakibatkan bentuk permainan untuk Days Gone berulang, dan pemain perlu melakukan perkara yang sama berulang-ulang kali. Antaranya adalah mencari sarang zombi ataupun Freaker, membunuh kesemua penjahat di kubu-kubu mereka dan juga mencari tempat-tempat yang ditinggalkan oleh “kerajaan”. Kesemua ini perlu dilakukan dengan melibatkan sistem pertempuran menggunakan senjata api ataupun melee dan juga menyelinap.

Selain itu, walaupun ia membawa keadaan yang realistik untuk dunia yang diserang oleh zombi, akan tetapi dengan zombi berada di setiap tempat, selain itu terdapat juga binatang liar seperti serigala dan beruang mengakibatkan pengembaraan di dalam permainan ini tidak menyeronokkan seperti mana permainan-permainan dunia terbuka lain, ini ditambah lagi dengan sistem minyak lebih menyusahkan. Namun, jika anda meminati permainan ketahanan hidup seperti ini, ia mungkin akan menjadi sesuatu yang menarik.

Di atas adalah ulasan ringkas untuk permainan ini yang memfokuskan kepada bahagian yang tidak membawa sebarang perbezaan di antara versi PS4 sebelum ini dan juga PC. Anda boleh baca ulasan penuh melalui pautan ini; Ulasan Days Gone – Permainan Dunia Terbuka Yang Kosong Dan Bosan.

Versi Terbaik Adalah Di PC

Walaupun dari segi bentuk permainan, versi PC tidak membawa sebarang perubahan akan tetapi permainan ini akhirnya mengambil kelebihan yang hadir dengan PC dan tidak terhad dengan keupayaan PlayStation 4 sebelum ini. Ia juga menawarkan pelbagai tetapan untuk alat kawalan, audio, paparan dan juga grafik yang sekali gus menjadi Days Gone untuk PC adalah versi terbaik yang anda boleh dapatkan dan ia juga tidak memerlukan PC yang mempunyai spesifikasi tinggi.

Berdasarkan penyenaraian di Steam, spesifikasi yang dicadangkan adalah seperti berikut;

Manakala untuk sesi saya bermain pula, saya menggunakan PC dengan spesifikasi seperti berikut;

  • CPU: AMD Ryzen 5 3600 (3.66Ghz)
  • NVIDIA GeForce RTX 2060 (6 GB)
  • RAM: 16 GB

Dengan PC spesifikasi tersebut, saya boleh bermain secara HD Penuh dengan kadar kelancaran secara puratanya 90FPS, dengan tertinggi melebihi 100 FPS dan terendah adalah 80 FPS menggunakan tetapan “Very High” iaitu tetapan tertinggi untuk permainan ini. Saya sudah cuba memasuki pelbagai kawasan, termasuk juga tempat di mana terdapat puluhan jika tidak ratusan zombi yang menyerang akan tetapi tahap kelancaran masih tidak lebih rendah berbanding 80 FPS.

Bagi pemain yang inginkan lebih banyak tetapan, ia mungkin sedikit mengecewakan kerana tetapan yang boleh diubah adalah sangat terhad untuk beberapa bahagian sahaja, akan tetapi saya sangat kagum dengan paparan prestasi jangkaan di bahagian tetapan. Setiap kali anda melakukan perubahan, ia akan terus memperlihatkan jangkaan FPS dan juga penggunaan GPU dan saya boleh katakan ia hampir menyerupai dengan prestasi sebenar semasa bermain. Oleh itu, ia sangat berguna semasa anda mencari tetapan yang terbaik. Tambah menarik, di bahagian belakang (motorsikal dan persekitaran) anda akan terus boleh melihat perubahan yang dilakukan secara terus.

Di PlayStation 4, terutama Pro lagi ia membawa kualiti grafik yang sangat baik, namun di PC, dengan tetapan High dan juga Very High ia membawa kualiti grafik yang sangat menawan. Dengan tahap kelancaran yang sangat baik, menjadikan ini adalah Days Gone yang harus dimainkan oleh semua. Antara rungutan ulasan kami sebelum ini adalah kadar kelancaran yang tidak menentu, ia sudah diselesaikan melalui versi PS5 untuk Days Gone tetapi ia juga ditambah-baikkan lagi untuk versi PC. Jika anda tidak mempunyai PC spesifikasi yang tinggi, anda boleh rendahkan tetapan dan ia masih lagi membawa kualiti grafik yang mencukupi.

Bagi tetapan paparan pula, ia menawarkan tetapan yang sudah kita boleh jangkakan di mana pemain boleh ubah Windows Mode, Resolusi, Kadar Segar Semula, Had Kadar Segar Semula, VSYNC dan juga HDR untuk paparan yang menyokongnya. Seperkara yang menarik adalah jika anda menggunakan dua atau lebih monitor, anda boleh memilih untuk permainan dipaparkan di monitor yang mana, secara terus melalui tetapan.

Bagi sokongan alat kawalan pula, sebagai permainan PC, ia sudah semestinya menyokong kawalan menggunakan papan kekunci dan tetikus, bahkan saya boleh katakan ia adalah cara kawalan terbaik untuk permainan ini yang bentuk pertempuran memfokuskan kepada senjata api. Walaupun turut menyertakan melee ia masih lagi boleh dikawal dengan baik menggunakan tetikus. Anda juga boleh menukar kesemua tetapan kunci kawalan termasuk juga dua kunci kawalan untuk satu pergerakan.

Jika, anda masih ingin menggunakan alat kawalan, ia juga menawarkan sokongan secara terus untuk pelbagai alat kawalan seperti DualShock/DualSense, alat kawalan Xbox dan juga alat kawalan Switch Pro. Sedikit mengecewakan kerana tidak boleh mengubah tetapan kunci kawalan, akan tetapi tetapan lain seperti kadar sensitif kawalan kamera, invert dan lain-lain masih disertakan. Jika anda mempunyai alat kawalan yang disambung tetapi ingin menggunakan papan kekunci dan tetikus, anda boleh “memadamkan” alat kawalan melalui tetapan tanpa perlu nyah-sambung daripada PC.

Dua permainan yang dikeluarkan secara eksklusif untuk PlayStation yang kemudiannya di bawa ke PC sebelum ini adalah Death Stranding dan juga Horizon Zero Dawn, dan bagi saya kedua-dua permainan tidak menawarkan satu port yang baik, terutama untuk Horizon Zero Dawn pada permulaan. Ia menjadi lebih baik selepas beberapa kali tampalan. Days Gone pula bagi saya memberikan perasaan yang permainan ini sebenarnya dibangunkan untuk PC terlebih dahulu dan bukan untuk PS4. Ia adalah satu port yang sangat mengagumkan.

Semasa percubaan saya, ia mempunyai satu masalah yang sering berlaku iaitu kamera bagaikan tersangkut ke bahagian kiri dan ia menjadi sukar untuk anda mengawalnya menggunakan tetikus. Ia mungkin fungsi di dalam permainan ini yang akan memberatkan sedikit kamera ke arah tempat yang ada penjahat ataupun zombi, akan tetapi ada masa ia hadir tanpa sebab. Kebiasaan, saya sekadar menyimpan permainan dan memuat balik untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Jadi untuk siapa versi PC ini?

Days Gone adalah permainan yang baik tetapi menyertakan penceritaan serta bentuk permainan yang kurang menarik, jika anda tidak pernah mencuba Days Gone, dan selepas membaca ulasan dan melihat bentuk permainan tetapi masih ingin mencuba, saya boleh katakan yang versi PC adalah versi terbaik untuk anda.

Melainkan, anda tidak mempunyai PC, dengan Days Gone ditawarkan secara percuma sebelum ini membelinya di PS4 sekarang mukin sedikit merugikan. Jika anda memiliki PS5, ia ditawarkan melalui tawaran PS Plus Collection.

Jika anda sudah mencubanya di PS4, tetapi tidak menyukainya kerana bentuk permainan dan juga penceritaan, versi PC ini tidak akan mengubah pengalaman tersebut akan tetapi jika anda kurang menyukainya kerana prestasi yang kurang baik, masalah tersebut sudah semestinya telah diselesaikan melalui versi PC ini. Bahkan akan membawa kualiti penyampaian yang lebih baik dan menarik.

Manakala untuk anda yang sangat menyukai permainan ini, dengan mudah untuk saya syorkan agar anda mencuba sekali lagi di PC dengan sistem kawalan, serta kualiti grafik yang lebih baik, ia adalah versi terbaik untuk anda bermain Days Gone dan berbaloi untuk dimainkan sekali lagi.

Days Gone untuk PC boleh didapati di Steam bermula hari ini dengan harga RM209 di Steam dan juga Epic Games Store.

Penafian: Days Gone untuk PC (Steam) disediakan oleh SIE

Leave a Reply